
Oleh: SURYATI MOHD NOR
BIARPUN berjauhan beribu batu kampung halamannya di Liberia, Kpah Sherman tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk membantu penduduk-penduduk di kampungnya.
Penyerang kelahiran Monvoria ini tiba di Malaysia pada 2017 mewakili pasukan MISC-Mifa seterusnya mencipta nama bersama PKNS FC pada musim 2018 dengan mengumpul 14 gol dalam 19 perlawanan sekaligus dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super 2019.
Namanya semakin menjadi sebutan apabila berpindah ke utara tanah air bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC musim lalu dan turut melakar enam gol sebelum aksi liga dihentikan berikutan pandemik Covid-19.
Pemain kebangsaan Liberia ini antara tonggak utama Lang Merah sepanjang aksi liga musim 2021 yang menyaksikan dia telah merakam 9 gol untuk KDA FC setakat ini.
Disebalik komitmentnya bersama pasukan pilihan liga musim ini, Sherman tidak lupa untuk menunjukkan sikap prihatin membantu penduduk-penduduk di kampung halamannya Monrovia dengan menyumbangkan beras 25 kilogram sebanyak 40 beg dan 35 gelen minyak.
Sumbangan Sherman itu dikongsi di laman Twitter milik salah seorang pengamal media di Liberia.
Semua barangan tersebut disampaikan oleh wakil Sherman yang turut kelihatan memakai jersi KDA FC.
Tindakan Sherman ini seharusnya dipuji dengan mempunyai nilai tanggungjawab untuk meringankan beban penduduk-penduduk di kampungnya.
Sebagai rekod terbaharu, jaringan tunggal Sherman pada aksi Ahad lalu ketika bertemu Sabah FC cukup meletakkan KDA FC berada di tangga ketiga liga dengan 26 mata selepas 19 perlawanan.
Add Comment