
SUNTIKAN Vaksin Covid-19 dos kedua yang diterima barisan pemain Harimau Malaya memberi ketenangan minda dan keyakinan kepada pemain tatkala jumlah kes positif masih mencatat angka yang membimbangkan menjelang kem latihan pusat.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagaimanapun optimis barisan pemain akan hadir dalam keadaan kesihatan terbaik.
Ujarnya, barisan pemain yang menggalas cabaran negara akan dihimpunkan di Wisma Persatuan Bola Sepak Mlaaysia (FAM) 16 Mei ini.
“Yang penting kita rasa selesa dan dapat rasa tenang dari segi mental sebab kita dapat tengok sekarang kes agak banyak. Sebagai jurulatih saya risau juga kesihatan barisan pemain.
“Dan sudah tentu selepas selesai terima dos kedua kita akan dapat lebih fokus kepada tugasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas selesai mendapatkan suntikan dos kedua di Dewan Seri Seroja, Persiaran Diplomatik, hari ini.
Skuad kebangsaan akan menjalani latihan pusat di Wisma FAM pada hari raya keeempat Aidilfitri sebelum terbang ke Dubai pada 19 Mei bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Bahrain dan Kuwait, seterusnya mengharungi baki aksi kelayakan.
Cheng Hoe dan barisan pegawai pasukan kebangsaan termasuk 29 pemain negara hari ini melengkapkan kitaran vaksin Covid-19 dengan suntikan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 19 April lalu.
Malaysia akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand , 15 Jun pada baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.







Add Comment