Antarabangsa Bola Sepak Terkini

TMJ dedah rahsia Hariss Harun


Oleh : Subkhi Sudarji
PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan rahsia mengenai kaptennya, Hariss Harun yang hampir menyertai kelab di Portugal pada 2014 sebelum berjaya diyakinkan menyertai Harimau Selatan untuk memenangi kejuaraan.

Jelas Tunku Ismail, ketika permulaan projek ini pada 2013 dia tidak tahu banyak perkara tentang bola sepak tempatan.

“Saya mula lebih memahaminya pada 2014 dan sedar bahawa kelab ini tidak mempunyai seorang ‘defensive midfielder’ — tulang belakang kepada pasukan — dan itu adalah pemain pertama (Harris) yang saya tandatangani pada 2014.

“Saya bertemu pemuda ini dan memberitahu beliau tentang projek saya, aspirasi, serta apa yang tidak lengkap pada kelab dan bertanya seandainya beliau boleh membantu.

“Beliau sudah hampir ke Portugal ketika itu tetapi saya yakinkan beliau ke sini untuk memenangi kejuaraan,” jelas TMJ menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman rasmi FB Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) berkata, Harris bersetuju untuk bersama-sama dengan JDT ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa.

“Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT telah menjadi sangat berjaya dan Hariss Harun telah menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini.

“Hariss, saya secara peribadi dan bagi pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya dalam karier anda. Anda sentiasa akan mendapat sokongan saya, sokongan kami dan anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari keluarga JDT, dan seorang legenda JDT,” jelas TMJ.

Sementara itu, Hariss menyifatkan dirinya beruntung dapat menyaksikan transformasi JDT dari hari pertama dirinya bersama kelab sehinggalah kejayaan yang dimiliki kelab pada hari ini.

“Kepada penyokong JDT, saya memegang erat pada semangat dan sokongan yang tiada tandingnya, suasana alunan-alunan yang bersemarak di stadium Larkin dan kemudian di stadium Sultan Ibrahim adalah antara memori terindah bagi saya.

“Anda yang sentiasa memberi semangat kepada pasukan untuk memberikan persembahan dan permainan yang terbaik.

“Kepada Boss TMJ, saya amat berterima kasih dan tidak akan dapat membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya ketika Tuanku membawa saya ke kelab dan memberi saya peluang untuk memimpin pasukan pada tahun-tahun terakhir saya di kelab.

“Terus terbang tinggi dan saya yakin anda akan membawa kejayaan ke kelab seperti selalu. Saya dengan bangga mengatakan bahawa sebahagian daripada diri saya akan sentiasa berwarna merah dan biru. Luaskan Kuasamu Johor!,” ujarnya.

Pencapaian Harris sepanjang tujuh tahun bersama JDT.

Selepas hampir tujuh tahun, Hariss akhirnya meninggalkan Harimau Selatan yang penuh dengan kegemilangan untuk menyertai kelab The Lion City Sailors  yang beraksi dalam saingan Liga Singapura.

Hariss menyertai JDT selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut, Piala AFC 2015 bersejarah dan sembilan lagi trofi domestik di Malaysia.

Pemain tengah ini telah melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan benteng pertahanan dari bahagian tengah buat JDT.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading