Antarabangsa Motorsport Terkini

Hamilton catat rekod ke-100 permulaan petak hadapan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Image

PEMANDU pasukan AMG Mercedes Petronas, Lewis Hamilton mencatatkan rekod baharu sukan Formula Satu apabila menyambar petak pertama ke-100 dalam karier beliau untuk perlumbaan Grand Prix Sepanyol di Litar Catalunya, Barcelona.

Hamilton mencatatkan masa sepusingan terpantas 1 minit 16.741 saat mengenepikan cabaran pelumba Red Bull, Max Verstappen dengan hanya 0.036 saat dengan rakan sepasukan, Valtteri Bottas bermula dari petak ketiga ketinggalan 0.132 saat.

Ini adalah antara pusingan kelayakan yang sengit yang menyaksikan ketiga-tiga pemandu berpeluang merebut petak hadapan tetapi Hamilton tenang menyempurnakan pusingan terakhir sekaligus muncul pemandu pertama bermula di petak hadapan sebanyak 100 kali.

Bermula dengan petak hadapan pertama pada Grand Prix Kanada pada 2007, Hamilton tidak dapat disekat dan kini meletakkan namanya dalam setiap rekod yang ada dalam sukan permotoran paling pantas di dunia ini.

Lima pelumba dengan dua wakil Haas, Mick Schumacher dan Nikita Mazepin, pelumba Alfa Romeo, Kimi Raikkonen pelumba Williams, Nicolas Latifi dan pemandu Jepun yang mewakili Alpha Tauri, Yuki Tsunoda gagal layak ke pusingan kelayakan kedua dan akan mengisi petak 16 hingga 20.

Pusingan kelayakan kedua pula menyaksikan lima lagi termasuk pemandu Williams, George Russell, pemandu Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi, pemandu Alpha Tauri, Pierre Gasly dan dua pemandu Aston Martin, Lance Stroll dan Sebastian Vettel tersingkir dan bakal memulakan permulaan dari petak 11 hingga 15.

10 pemandu terbaik dari lima pengeluar merebut peluang petak hadapan tetapi seperti biasa, ia hanya melibatkan tiga pemandu utama dengan pemandu lain terpaksa berpuas hati dengan pencapaian jentera masing-masing pada Sabtu.

Pemandu Alpine, Esteban Ocon memberikan persembahan cemerlang apabila melayakkan diri di petak kelima sekaligus menewaskan rakan sepasukan yang juga juara dunia dua kali dan pemandu tuan rumah Fernando Alonso yang bakal bermula di petak ke-10.

Seorang lagi pemandu Sepanyol, Carlos Sainz yang mewakili Ferrari bakal memulakan perlumbaan di petak keenam, dua petak dibelakang rakan sepasukan, Charles Leclerc. Ferrari tampil garang apabila berjaya meletakkan kedua-dua jentera dihadapan pencabar terdekat McLaren.

Siapakah yang bakal memenangi perlumbaan ini. Adakah Hamilton akan mudah menguasai perlumbaan atau Red Bull menerusi Verstappen akan mempunyai taktik ampuh untuk menyekat pelumba Mercedes ini. Sama-sama kita saksikan Grand Prix Sepanyol ini.

Kedudukan Petak Perlumbaan GP Sepanyol

1. Lewis Hamilton – Mercedes
2. Max Verstappen – Red Bull
3. Valtteri Bottas – Mercedes
4. Charles Leclerc – Ferrari
5. Esteban Ocon – Alpine
6. Carlos Sainz – Ferrari
7. Daniel Ricciardo – McLaren
8. Sergio Perez – Red Bull
9. Lando Norris – McLaren
10. Fernando Alonso – Alpine
11. Lance Stroll – Aston Martin
12. Pierre Gasly – Alpha Tauri
13. Sebastian Vettel – Aston Martin
14. Antonio Giovinazzi – Alfa Romeo
15. George Russell – Williams
16. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
17. Kimi Raikkonen – Alfa Romeo
18. Mick Schumacher – Haas
19. Nicolas Latifi – Williams
20. Nikita Mazepin – Haas


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: