Pelbagai Semasa Terkini

32 pasukan berentap di MPFL 2021

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Rosmadi bersama barisan penaja yang bakal memeriahkan saingan MPFL 2021

32 pasukan  daripada persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bakal beraksi pada Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, FAM telah menjalankan saringan dokumen yang terperinci sebelum meluluskan permohonan pasukan untuk beraksi di MPFL 2021.

“Dengan pembatalan MPFL musim 2020 kerana pandemik COVID-19 tahun lalu, kehadiran pasukan-pasukan lama dan baharu di dalam pertandingan ini akan menyerikan lagi saingan MPFL 2021 menerusi corak permainan yang dijangka bertambah sengit serta kompetitif dengan pelaksanaan pendaftaran seorang pemain asing bagi kedua-dua kategori.

“Menerusi proses saringan ini, FAM berpeluang untuk memperkenalkan struktur sukan futsal dan juga mendidik pasukan-pasukan ini mengenai pengurusan dan pentadbiran pasukan futsal di peringkat kebangsaan,” ujarnya pada majlis undian di Wisma FAM.

Majlis itu turut dihadiri oleh Exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM, ahli-ahli Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

20 pasukan bagi kategori lelaki akan memulakan kempen MPFL musim ini bermula Jun ini sementara 12 lagi pasukan bagi kategori wanita akan memulakan saingan mereka bermula Ogos ini.

Senarai pasukan lelaki itu terdiri daripada Kedah, Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor MAC, Pahang Rangers FC, KL City FC, KPT-PST Mustangs termasuk 9 pasukan baharu iaitu Sabah, Melaka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan United, Kelantan FC, Sarawak United, Shah Alam City, Selangor TOT United dan PDRM FC.

Manakala bagi pasukan wanita pula terdiri daripada Kuala Lumpur, Melaka, Sabah, Sarawak, FC Langkawi, KPTM Bangi, Pahang Rangers FC, Kuala Lumpur Prefer FC, Selangor MBSJ FC, Selangor MBPJ FC, Perak SSCJ dan PDRM FC.

Pada majlis berkenaan, FAM turut mengumumkan CUCKOO sebagai penaja utama MPFL bagi musim 2021 serta rakan-rakan penaja MPFL musim lalu iaitu Yoodo, Joma, 100PLUS, Firefly, Kaki Jersi dan Astro juga akan meneruskan sokongan serta tajaan mereka bagi musim 2021 ini.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa tujuh rakan penaja rasmi MPFL 2020 akan meneruskan komitmen mereka bersama kami untuk musim ini termasuk Astro yang bakal membawa aksi perlawanan MPFL secara langsung di saluran Astro Arena pada tahun ini.

“Kami di FAM sangat berterima kasih di atas sokongan serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh penaja-penaja MPFL iaitu CUCKOO, Yoodo, Firefly, Astro, Kaki Jersi, 100plus dan Joma, yang jelas mencerminkan kredibiliti MPFL untuk memberi nilai tambah kepada produk dan jenama mereka,” kata Datuk Seri Haji Rosmadi.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd, Encik Hoe Kian Choon (KC Hoe) juga meluahkan rasa berbesar hati dengan jalinan kerjasama yang berterusan di antara CUCKOO dan FAM.

“CUCKOO sangat teruja dengan kehadiran MPFL tahun ini lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19 tahun lalu telah memaksa arena bola sepak negara termasuk juga futsal direhatkan daripada sebarang pertandingan.

“Saya percaya sambutan MPFL tahun ini akan lebih meriah daripada tahun-tahun sebelumnya dan kami di CUCKOO mahu menjadi sebahagian daripada kemeriahan bola sepak dan futsal untuk musim ini dan juga di masa hadapan,” tegasnya.

Saingan Kategori Lelaki akan berlangsung dari 12 Jun hingga 28 Ogos 2021 dengan peringkat kumpulan dan disusuli peringkat kalah mati (Suku Akhir, Separuh Akhir, Penentuan Tempat Ke-3/Ke-4 & Final)

Sementara itu, Kategori Wanita pula akan berlangsung dari 12 hingga 22 Ogos 2021 dengan peringkat kumpulan yang juga disusuli peringkat kalah mati (Suku Akhir, Separuh Akhir, Penentuan Tempat Ke-3/Ke-4 & Final).

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: