Bola Sepak

“Mereka seperti tiada motivasi” – Mohd Azraai


Foto: Perak FC

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah Azraai berharap Perak FC dapat bangkit selepas terus dirudum kekalahan meletakkan mereka di tangga ketiga tercorot dengan hanya sembilan mata ketika ini.

Mohd Azraai yang pernah membimbing pasukan Perak FA pada musim 2012-2013 mengakui pasukan sekarang sangat berbeza dengan sebelum ini.

“Apa yang saya boleh katakan ketika melihat pemain-pemain Perak beraksi terutamanya sewaktu menentang Sabah tempoh hari adalah mereka bukanlah pemain Perak yang pernah kita kenal sebelum ini.

“Mereka seolah-olah tiada motivasi di atas padang dan saya harap sesuatu dapat dilakukan oleh mereka selepas ini untuk lebih konsisten,” ujar bekas jurulatih berusia 69 tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Azraai tidak menafikan musim 2021 ini menunjukkan peningkatan positif untuk memberikan persaingan yang lebih sengit antara satu sama lain selain turut memperlihatkan kemunculan pemain-pemain muda yang berkualiti untuk pamer kejutan.

“Bagi saya, tahun 2021 adalah musim yang cukup positif untuk meletakkan Liga Malaysia ini di standard yang lebih tinggi kerana sebelum ini jurang antara pendahulu liga dan kedudukan kedua agak jauh, tetapi sekarang sudah berbeza.

“Sekurang-kurangnya kita dapat lihat saingan juga semakin sengit disebabkan mereka hanya dibezakan satu mata dan ia akan menjadi lebih menarik untuk kita lihat aksi mereka selepas ini.

“Bukan itu sahaja, pemain-pemain muda juga semakin menunjukkan belang mereka seperti pemain Kedah, Fayadh Zulkifli dan Hakimi Abdullah (Terengganu FC), bagaimana mereka bagi impak kepada pasukan juga turut menjadi bualan,” jelasnya yang pernah membimbing Lang Merah sehingga melakar sejarah mencipta kejuaraan treble pada musim 2007 dan 2008.

Sebagai rekod, JDT ketika ini kekal berada di takhta liga dengan 24 mata diikuti Kedah di tangga kedua dengan 23 mata.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading