
BERMULA musim depan, Valentino Rossi dikatakan akan menurunkan pasukan sendiri pada perlumbaan MotoGP 2022.
Ia selepas Racing Team VR46 miliknya mendapat sokongan penuh daripada perusahaan minyak Arab Saudi, Aramco.
Menurut Autosport, Aramco akan menjadi penaja utama VR46 selama lima tahun, bermula tahun 2022 hingga 2026.
Persefahaman ini diumumkan pada Rabu oleh Tanal Entertainment Sport & Media, syarikat yang diketuai Putera Abdulaziz bin Abdullah Al Suad.
Kerjasama dengan Aramco untuk VR46 juga pada saingan Moto2. VR46 diharapkan dapat mempromosikan projek Saudi Vision 2030, program daripada kerajaan Arab Saudi yang ingin mengurangkan kebergantungan pendapatan hasil minyak bumi dan mengembangkan sektor ekonomi lain.
Aramco Racing Team VR46 pada perancangannya akan mengisi slot milik Esponsorama Racing, yang akan menarik diri dari MotoGP musim depan. Namun,VR46 belum pasti akan menggunakan motor Ducati, seperti yang ditunggang Esponsorama selama ini.
Pasukan Racing Team VR46 juga menjadikan masa depan Rossi di MotoGP menjadi lebih jelas. Setakat ini, belum diketahui langkah apakah yang akan diambil Rossi.
Sama ada memilih bersara di Petronas Yamaha SRT, atau turun beraksi bersama pasukan VR46.





Add Comment