Lain-Lain Olahraga Semasa Terkini

Peraturan baharu lebih ketat; Ahmad Shapawi

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ahmad Shapawi

MAJLIS  Sukan Negara (MSN) akan memperketatkan lagi protokol pengurusan atlet ekoran enam pemain badminton yang menjalani latihan di Akademi Badminton Negara (ABM) telah disahkan positif virus COVID-19 pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beberapa peraturan baharu yang lebih ketat akan diperkenalkan terutamanya yang melibatkan urusan keluar masuk para atlet bagi menghindari penularan wabak tersebut dalam kem latihan negara.

“Para atlet hanya dibenarkan keluar untuk pulang ke rumah masing-masing sebulan sekali. Mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan pasukan sebelum meninggalkan kem latihan.

“Atlet tidak bebas untuk keluar dan masuk dalam kem latihan dan tindakan ini bukan bermakna kita kembali melakukan latihan secara kuarantin tetapi lebih kepada memperketatkan protokol,” kata beliau memetik daripada laporan BH Sukan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah mengumumkan latihan secara kuarantin telah ditamatkan pada 17 Mac yang melibatkan 28 jenis sukan diberi kelonggaran untuk menjalani latihan berpusat secara terkawal.

“Tindakan segera akan diambil merujuk ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya atlet didapati positif COVID-19 atau menjadi kontak rapat,” tambah beliau.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: