Olahraga Terkini

Saya rasa lebih selamat; Farah Ann


Ratu atlet gimnastik, Farah Ann selepas menerima vaksinasi

Oleh: Hidayah Ab Ghani/ Foto: Izari Rosli

RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui dia kini lega dan tidak lagi perlu risau akan keselamatan dirinya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama hari ini.

Sudah mengesahkan tempat ke temasya Olimpik Tokyo 2020, Farah memaklumkan dia selesa dan tidak mempunyai sebarang kesan gejala selepas menerima suntikan berkenaan.

“Alhamdulillah saya antara kelompok pertama yang menerima vaksin dan setakat ini semuanya okey dan tak ada rasa sakit atau kesan sampingan.

“Saya rasa selesa. Prosedur hari ini juga berjalan dengan lancar, penjelasan dari pihak yang bertugas juga bagus mudah difahami. Terima kasih kepada semua,” katanya ditemui media selepas menerima suntikan pertama diantara 264 atlet, jurulatih dan pegawai yang bakal terlibat dalam temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras, hari ini.

Farah Ann telah berjaya melayakkan diri dan diberikan tiket ke Sukan Olimpik setelah mencatat keputusan memberangsangkan di Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Selain Farah Ann, antara atlet yang turut menerima suntikan terdiri dari barisan penerjun negara, Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Chen Yiwei, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee.

Dalam perkembangan yang sama atlet berbasikal negara Muhammad Fadhil Zonis menjadi atlet pertama negara menerima suntikan vaksin Covid-19.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment