Badminton Gaya Hidup Semasa Terkini

Kedai sukan kebanggaan Fairuzizuan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Fairuzizuan Tazari

SEMUANYA bermula kerana kebosanan selepas banyak masa yang terluang dan kini bekas pemain beregu negera, Fairuzizuan Tazari mampu berbangga dengan kedai sukan miliknya.

Siapa sangka, kedai yang terletak di Halaman Meru Permai, Ipoh, mengkhususkan kepada sukan badminton yang pernah mengangkat dirinya di pentas dunia, kini sudah berusia lebih setahun.

Fairuzizuan, 38, memberitahu CAKAPSUKAN dirinya tidak pernah terfikir membabitkan diri dengan dunia perniagaan tetapi memandangkan banyak masa terluang, dia mahu mengisinya dengan lebih bermakna.

“Saya kini melatih skuad pembangunan Perak dan selepas waktu latihan, ada banyak masa yang terluang sehingga membuatkan saya mencari idea mengisinya dengan lebih bermakna.

“Daripada situ, saya terfikir membuka kedai khusus membabitkan badminton kerana sukan ini ramai peminatnya. Alhamdulillah sehingga kini semuanya lancar,” kata bekas pemain yang berasal dari Taiping, Perak.

Fairuzizuan pernah berganding dengan Zakry Latif untuk menduduki ranking keempat dunia acara beregu lelaki.

Sebagai rekod, Fairuzizuan pernah berganding dengan Lin Woon Fui dan Zakry Latif, dengan masing-masing membolehkannya menduduki ranking keempat dunia acara beregu lelaki.

Bagaimanapun, dia memperoleh lebih banyak kejayaan bersama Zakry apabila muncul juara dalam empat acara Super Series iaitu Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia (2008), Terbuka India (2010) dan Terbuka Taiwan (2012).

Diserapkan sebagai pelatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika berusia 13 tahun, dia menghabiskan banyak usia remajanya di situ sebelum meninggalkannya sewaktu berumur 30 tahun.

BERGERAK SECARA PROFESIONAL

Selepas itu, Fairuzizuan bersama Zakry mencuba nasib sebagai pemain professional di KLRC selama tiga tahun sebelum menggantung raketnya.

Dia kemudian kembali buat seketika bersama BAM apabila dilantik menjadi jurulatih beregu wanita yang ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, sebelum memilih pulang ke negeri asalnya.

Di situlah, datangnya idea mewujudkan kedai sukan bagi meneruskan cintanya kepada badminton yang sudah membawanya ke merata dunia.

Fairuzizuan mengakui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu agak sukar apa lagi kedainya yang diberi nama ‘Fairuzizuan Sports Centre’ baru dibuka ketika itu.

“Sepanjang tahun lalu, kedai ini hanya dibuka tujuh bulan sahaja. Mujur, ia tidak begitu terkesan kerana permintaan tetap ada.

“PKP kali kedua tidak begitu memeritkan dan saya bersyukur setakat ini belum mengalami kerugian dan harapa ia akan kekal begitu,” katanya.

KONGSI PENGALAMAN DAN PENGETAHUAN

Bapa kepada seorang anak ini berkata, status sebagai bekas pemain kebangsaan turut memberi kelebihan kerana dapat berkongsi fikiran mengenai raket dan ketegangan tali yang sesuai kepada pelanggan-pelanggannya.

Menurutnya, kedai itu menjual pelbagai jenis jenama raket walaupun dia sendiri adalah duta jenama Young, dulunya dikenali sebagai Yang Yang, milik bekas jaguh kidal dari China, Yang Yang.

Fairuzizuan berkata kedainya dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam dan mempunyai seorang pembantu jika dia terlibat dengan latihan.

Dia masih aktif bermain secara sosial bagi memastikan kecergasan dirinya kerana perlu melatih skuad pembangunan Perak dari kelompok umur 12, 14, 16 tahun serta pasukan Sukma negeri itu.

“Saya perlu kekal cergas sebagai contoh kepada pemain-pemain saya,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: