Bola Sepak Semasa Terkini

Harimau Selatan menanti mangsa, Sang Kancil perlu lebih bijak


Barisan pemain MUFC menjalani latihan petang semalam menjelang aksi menentang JDT, malam ini.
Oleh : Subkhi Sudarji
BERMULA dengan empat keputusan seri pada empat perlawanan sebelum merasai kemanisan tiga mata membenam Kuala Lumpur United City (KLUFC) anak didik Zainal Abidin Hassan kini perlu melalui fasa getir apabila menentang penyandang juara JDT dilaman lawan malam ini.
Belum pernah berjaya menewaskan JDT sejak 2017 dengan hanya dua seri dan tewas tujuh perlawanan memberi gambaran kerja keras perlu dilakukan Sang Kancil seandainya ingin memerangkap Harimau Selatan digelanggang mereka. Bukan tugas mudah tetapi dalam bola segala-galanya boleh berlaku.
Bagi Zainal mereka menggunakan waktu rehat hampir dua  minggu mempersiapkan pasukan untuk berdepan JDT di tempat lawan.
“Ketiadaan tiga pemain utama yang dipinjamkan dari JDT iaitu S Kumaahran, Che Rashid Che Halim dan Hasbullah Abu Bakar pada perlawanan malam ini mampu diisi pemain lain.
“Saya harap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” tegasnya.
JDT tidak seharusnya tercicir mata seandainya ingin terus menerajui liga.
Bagi JDT pula, mereka harus bangkit untuk kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.
Hampir dikejutkan dengan kekalahan pertama ketika menentang Perak FC, 21 Mac lalu sebelum barisan pemain Benjamin Mora bangkit mengikat kedudukan 2-2, situasi ini tidak seharusnya berlaku lagi ke atas pasukan yang memiliki reputasi selaku juara bertahan tujuh kali berturut-turut.
Ketiadaan Naxto Insa yang digantung perlawanan pada dasarnya bukanlah masalah besar buat Mora kerana kita semua tahu JDT memiliki deretan pemain tengah yang berkualiti dan semestinya mampu menggalas kekosongan yang ditinggalkan itu.
Kehadiran penyokong JDT walaupun dalam skala kecil pada perlawanan itu nanti bakal menghidupkan kembali semangat juang barisan pemain untuk memberi persembahan lebih mantap bagi menjelmakan kembali tiga mata yang terlepas pada dua perlawanan lalu.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: