
SUSULAN kejayaan menganjurkan kejohanan eRacing GP secara maya pada tahun lepas, Axle Sports kembali sekali lagi dengan penganjuran kejohanan eRacing Grand Prix Global Edition edisi kelima yang akan bermula esok.
Kejohanan ini akan menyaksikan para pelumba simulasi terhandal dari rantau Asia Tenggara akan bersaing antara satu sama lain serta akan membabitkan beberapa pelumba sebenar terbaik di Asia.
Bagi menghangatkan persaingan antara para peserta, Axle telah menambah baik format pertandingan dengan memecahkan kepada empat kategori yang menyaksikan para peserta akan memandu model kereta lumba yang sebenar di dalam kategori masing-masing antaranya Emas, Perak, Gangsa dan Tembaga.
Bagi kategori Emas dan Perak, para pelumba akan memandu jentera perlumbaan DTM 2016 yang telah diubah suai daripada pengeluar kereta yang berjenama seperti Mercedes, BMW dan juga Audi.
Kategori Gangsa pula menyaksikan para pelumba akan menggunakan jentera Formula 3 sementara pelumba novis bagi kategori Tembaga akan menggunakan jentera Aquila CR1 yang telah diubah suai mengikut kesesuaian para pelumba.
Kategori Tembaga ini diperkenalkan bagi para peserta yang baharu menyertai sukan permotoran simulasi ini supaya dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan simulator.

Bekas pemandu Formula 1 Malaysia Alex Yoong, yang juga pengasas Axle Sports amat teruja dengan kualiti saingan para peserta yang terlibat dalam kejohanan sebelum ini.
Menurutnya, penganjuran pertandingan secara maya yang diluaskan ke seluruh Asia Tenggara ini memberikan petanda positif buat Axle Sports dalam mencungkil bakat-bakat baharu.
“Selepas kejayaan penganjuran eRacing GP Malaysia pada tahun 2019, kami sentiasa mempunyai perancangan untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan seperti ini dan ironinya, pandemic Covid-19 seolah-olah membantu kami untuk menyesuaikan diri dengan penganjuran pertandingan ini secara maya,” kata Alex.
Add Comment