Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Tze Yong raih gelaran pertama di pentas antarabangsa

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ng Tze Yong

HASRAT Ng Tze Yong mencari gelaran sulungnya di pentas antarabangsa akhirnya menjadi kenyataan apabila muncul juara di Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland, petang ini waktu Malaysia.

Kemenangan ke atas pemain veteran Sepanyol, Pablo Abian 21-19, 21-12 di final berjaya memecahkan halangan psikologi Tze Yong, 21, yang sebelum ini tercari-cari gelaran di pentas lebih tinggi.

Setakat ini, dia hanya menjuarai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu acara dalaman antara pelatih skuad negara berikutan ketiadaan pertandingan antarabangsa akibat Covid 19, pada Ogos lalu.

Pada aksi final, pemain dari Johor ini jelas tidak gentar dengan reputasi Abian, yang menduduki ranking ke-54 dunia berbanding dirinya pada 136, untuk selesa mendahului set pertama 12-8.

Dia kemudian hilang tumpuan hingga membenarkan lawannya mengikat kedudukan 15-15 dan kemudian mendahului 15-17. Namun sempat bangkit untuk memastikan set itu miliknya dengan kemenangan 21-19.

Abian, 36, jelas kepenatan di set kedua apabila membenarkan Tze Yong mendahului 9-1, sebelum dapat memperkemaskan aksinya.

Begitupun, ketika itu Tze Yong sudah menguasai permainan dan menamatkan pertemuan tersebut dengan kemenangan 21-11 ke atas pemain kelahiran Calatayud yang juga juara Sukan Mediterranean 2018 dan Sukan Eropah 2015.

“Menentang lawan berpengalaman yang juga pilihan kedua, Tze Yong menunjukkan tahap permainan yang tersendiri.

“Dia dapat mengawal permainan dengan baik. Tze Yong punya semangat yang tinggi walaupun ketika keadaan tertekan.

”Ini sesuatu yang jarang ada pada pemain muda kita,” kata jurulatih perseorangan, Datuk Tey Seu Bock kepada CAKAPSUKAN.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memastikan tiga gelaran dibawa pulang pemain Malaysia, selepas menjinakkan rakan sepasukan, Chang Yee Jun-Chia Wiejie 21-17, 20-22, 21-19 di final.

Ia melengkap kejayaan bermakna selepas Choong Hon Jian-Toh Ee Wei muncul juara acara beregu campuran yang diadakan sebelum itu.

Hon Jian-Ee Wei menang ke atas pasangan Switzerland, Nicolas Mueller-Ronja Stern 21-16, 21-12.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: