
SELEPAS sekian lama tidak bersua muka, tanggal 27 Mac 2021 pasti diingati oleh bekas pemain bola sepak Malay Mail apabila mereka dihimpunkan dalam satu majlis perjumpaan khas.
Bermula dengan perlawanan persahabatan sesama sendiri pada sebelah petang di Kelab Aman, klimaks pertemuan semula bekas pemain adalah makan malam yang dilangsungkan di sebuah restoran di ibu kota.
Pastinya jejak kasih itu bukan sekadar pertemuan biasa dan sudah pasti mengimbau semula memori lama ketika berkongsi padang.
Lebih manis, majlis makan malam itu turut disertai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram.

“Saya begitu gembira dengan pertemuan yang diadakan. Ramai pemain yang saya kenal dan sesuatu yang menggembirakan saya mereka dapat dihimpunkan semula pemain pasukan ini yang pernah beraksi di pentas Piala FAM.
“Ini masa untuk mereka bersama rakan lama. Pasti banyak memori dan nostalgia lama, sama ada yang manis mahu pun sebaliknya.
“Pasukan Malay Mail adalah satu jenama yang ada di sudut istimewa dalam hati saya,” katanya.
Pada majlis itu, CAKAPSUKAN turut menaja hadiah utama cabutan bertuah berupaya percutian di The Taaras Beach & Spa Resort, Pulau Redang.
Untuk rekod, Malay Mail FC muncul sebagai kelab pertama di Lembah Klang bermain di dividyen kedua Liga Malaysia (Liga M).
Sepanjang penubuhannya, banyak kejayaan yang dicapai antaranya muncul naib juara Liga Dunhill KL pada 1989 dan turut melahirkan pemain berbakat.
Malah kelab ini juga pernah bermain di pentas antarabangsa seperti di Piala Filipina 1991.
Bagaimanapun, pasukan ini terpaksa ditutup pada penghujung 2004.
Add Comment