Badminton Semasa Terkini

Choong Hon Jian-Toh Ee Wei ke final Terbuka Poland


Toh Ee Wei

BEREGU campuran baru negara, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei meneruskan aksi cemerlang mereka dengan mengesahkan tempat di final Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland malam ini waktu Malaysia.

Pasangan yang baru digandingkan pada pertengahan Februari lalu mudah menyingkirkan pasangan tuan rumah Milosz Bochat-Viktoria Adamek 21-12, 21-6 untuk final pertama di kejohanan sulung mereka bersama.

“Sudah tentu saya gembira mara ke final. Sebenarnya saya bertuah dapat bertanding di kejohanan ini.

“Saya gembira dapat membalas kepercayaan barisan jurulatih yang menghantar kami walaupun masih baru.

“Di final, sudah pasti kami akan berjuang habis-habisan selepas mara sejauh ini,” kata Ee Wei kepada CAKAPSUKAN

Di final esok, mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara Nicolas Mueller-Ronja Stern dari Switzerland dan wakil Rusia, Radion Kargaev-Viktoria Vorobeva.

Sebagai rekod, Hon Jian-Ee Wei pernah digandingkan sewaktu Kejohanan Remaja Dunia 2018 tewas seawal pusingan kedua, sebelum dipadankan semula bulan lalu berikutan pengguguran beberapa pemain senior acara beregu campuran.

Lebih menarik, pasangan ini belum mencicirkan sebarang set sepanjang laluan ke final.

Final esok setidak-tidaknya pasti melegakan Ee Wei yang sebelum ini melihat bekas gandingannya, Pearly Tan dalam acara beregu wanita, mencipta nama dengan menjuarai Terbuka Switzerland bersama M Thinaah pada 7 Mac lepas.

Ee Wei dan Pearly pernah muncul naib juara di Kejohanan Remaja Dunia dan Asia pada 2018 sebelum berpisah apabila Ee Wei menarik diri daripada skuad negara atas alasan kesihatan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: