Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Terbuka Poland: satu final sudah di tangan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Leong Jun Hao

MALAYSIA mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil di final Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland, selepas dua pemain perseorangan negara akan menentang satu sama lain di separuh akhir.

Juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao akan membuat perhitungan dengan Ng Tze Yong di separuh akhir, lewat malam ini waktu Malaysia untuk merebut tiket ke final esok.

Jun Hao, pemain ranking ke-160 dunia, tidak terjejas dengan kedudukan lawannya Luis Enrique Penalver yang berada di tangga ke-66, apabila menang pertemuan suku akhirnya 21-16, 21-12 dalam masa 34 minit.

Namun, ia masih hari yang sukar buat pemain apabila saingan suku akhir dan separuh akhir diadakan pada hari yang sama, selepas turut melalui dua pusingan awal semalam.

Kesan kepenatan jelas dipamer Tze Yong apabila terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan wakil Bulgaria, Daniel Nikolov 23-25, 21-13, 21-8 dalam pertarungan lebih sejam.

“Ia memang memenatkan. Keadaan hari ini pasti seperti semalam apabila suku akhir dan separuh akhir diadakan pada hari yang sama.

“Pemain agak kepenatan apa lagi ada yang bermain lewat malam tadi tapi terpaksa bermain pagi ini pula,” kata jurulatih perseorangan, Datuk Tey Seu Bock kepada CAKAPSUKAN.

Sementara itu, hanya satu lagi halangan buat beregu campuran baru negara, Chong Hon Jian-Toh Ee Wei untuk melangkah ke final kejohanan pertama mereka.

Gandingan yang baru dipadankan pada pertengahan Februari lalu, menampilkan aksi membanggakan apabila menundukkan pasangan tuan rumah, Maciej Matusz-Karolina Szubert 21-16, 21-9 di suku akhir.

Mereka kini akan berdepan satu lagi gandingan tuan rumah, Milosz Bochat-Viktoria Adamek di separuh akhir.

Gandingan muda negara, Chang Yee Jun-Chia Weijie turut menempah tiket ke separuh akhir beregu lelaki selepas menundukkan pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-16,21-8 dalam masa 27 minit.

Di separuh akhir, mereka akan menentang pemenang perlawanan antara wakil tuan rumah, Milosz Bochat-Adam Cwalina dan Daniel Nikolov-Dimitar Yanakiev dari Bulgaria.

Nasib berbeza dialami Eoon Qi Xuan, satu-satunya wakil perseorangan wanita negara di kejohanan ini, apabila perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal melangkah ke separuh akhir.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2017, Eoon Qi Xuan tewas kepada Kristin Kuuba dari Estonia 21-18, 19-21, 17-21.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: