Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Iskandar teruskan rentak kemenangan di Terbuka Poland


 

Iskandar Zulkarnain.

‘PENYIKSAAN’ bermain dua perlawanan dalam tempoh singkat di atasi barisan perseorangan negara apabila empat wakil termasuk Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengesahkan tempat di suku akhir Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland.

Turut mengiringi mereka dalam aksi awal pagi tadi waktu Malaysia adalah perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan, beregu campuran, Chong Hon Jian-Toh Eee Wei dan dua beregu lelaki, Chang Yee Jun-Chia Weijie serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Iskandar, yang bertanding sebagai wakil profesional, cuma dapat berehat kira-kira empat jam selepas aksi pusingan pertamanya pada hari pertama yang dijalankan dua pusingan, sebelum lolos ke suku akhir.

Pemain berusia 29 tahun ini mengetepikan pilihan ketujuh dari Estonia, Raul Must 21-8, 21-11 bagi menempah pertemuan dengan pilihan kedua, Pablo Abian dari Sepanyol.

Leong Jun Hao

Juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao kemudian menewaskan wakil Slovenia, Miha Ivanic 15-21, 21-14, 21-19. Di suku akhir, dia akan menentang pilihan kelima, Luis Enrique dari Sepanyol yang mara selepas mengalahkan Tobias Kuenzi dari Switzerland, 21-14, 24-22.

Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, kemudian masing-masing mudah mengetepikan pilihan ketiga, Felix Burestedt dari Sweden, 21-12, 21-12, dan wakil Czech, Adam Mendrek 21-16, 12-13.

Di suku akhir, Tze Yong akan menentang Daniel Nikolov dari Bulgaria manakala Aidil Sholeh berdepan wakil tuan rumah, Michal Rogalski.

Qi Xuan pula menundukkan pilihan ketujuh, Haramara Gaitan dari Mexico 21-10, 21-15 di pusingan kedua untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua, Kristin Kuuba dari Estonia.

Beregu campuran baru negara, Hon Jian-Ee Wei turut tidak mengecewakan apabila mengetepikan pilihan keempat, Miha Ivancic-Petra Polanc dari Slovenia 21-16, 21-9.

Di suku akhir, mereka akan berdepan wakil tuan rumah, Maciel Matusz-Karolina Szubert.

Yee Jun-Weijie yang mendapat bye di pusingan pertama, menewaskan Andy Buijk-Brian Wassink dari Belanda 21-14, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan wakil Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer di suku akhir.

Wei Chong-Kai Wun pula menewaskan rakan senegara, Nurfirdaus Azman-Yap Roy King 21-15, 21-15. Mereka akan berdepan wakil Belanda, Gijs Duijs-Wessel Van Der Aar di suku akhir.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu wanita di kejohanan ini.
 

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: