Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

June Wei sahkan tiket ke pusingan ketiga Orleans Masters

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Cheam June Wei

 

JUARA Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019, Cheam June Wei menjadi satu-satunya wakil negara di pusingan ketiga acara perseorangan lelaki kejohanan Orleans Masters.

June Wei, 24, mara selepas menjinakkan Samuel Hsiao dari Jerman 21-18, 21-15 dalam masa 38 minit manakala cabaran satu lagi wakil negara, Soong Joo Ven berakhir di pusingan kedua malam ini waktu Malaysia.

Di pusingan ketiga kejohanan berstatus Super 100 esok,  June Wei akan bertemu pilihan utama, Srikanth Kidambi dari India yang mara selepas menunjukkan rakan senegaranya, Ajay Jayaram 21-15, 21-10.

Joo Ven, yang bertanding atas tiket pemain bebas selepas digugurkan dari skuad negara awal tahun lalu, gagal menyaingi pilihan ketiga, Hans Kristian Vittinghus apabila tewas 19-21, 19-21 dalam masa 43 minit.

Vittinghus, wira Denmark yang mengutip mata kemenangan Denmark di final Piala Thomas 2016, kini akan berdepan pemain India, Chirag Sen yang mara selepas menyingkirkan Chico Dwi Wardoyo dari Indonesia 21-13, 21-12.

Sementara itu, beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Paul Reynolds-Rachael Darragh dari Ireland 16-21, 21-12, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung 47 minit.

Kemenangan wakil tunggal negara dalam acara ini membolehkan mereka berdepan pasangan England, Max Flynn-Jessica Pugh di pusingan kedua.

Gandingan England itu mara selepas mendapat kemenangan percuma daripada pilihan keenam, Robin Tabeling-Selena Peik dari Belanda.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: