Badminton Semasa Terkini

Jin Wei lepasi halangan pertama di Orleans Masters

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

June Wei mara ke pusingan kedua Orleans Masters.

JUARA remaja dunia 2015 dan 2018, Goh Jin Wei kembali ke pentas antarabangsa dengan langkah kanan apabila melepasi halangan pertama perseorangan wanita di kejohanan Orleans Masters, Perancis, petang ini waktu Malaysia.

Jin Wei, 21, yang ‘berehat’ 21 bulan daripada sebarang pertandingan, menempah tiketnya ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 100 itu, selepas menundukkan pemain Bulgaria, Hristomira Popovska 21-8, 21-14 dalam masa 26 minit.

Dia akan berdepan pemenang perlawanan antara Lianne Tan dari Jerman dan Aliye Demirbag dari Turki di pusingan kedua, bagi rebut tiket ke suku akhir.

Jin Wei dijangka tidak berdepan halangan melepasi cabaran di pusingan kedua itu, namun halangan besar menantinya di suku akhir apabila pilihan utama, Pornpawee Chochuwong dari Thailand menantinya.

Chochuwong berada pada aksi terbaik ketika ini selepas mara ke final All England minggu lalu sebelum tewas kepada pemain Jepun, Nozomi Okuhara.

Ini adalah aksi pertama Jin Wei, yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan membuang usus besarnya pada Oktober 2019, selain ketiadaan pertandingan akibat pandemic Covid 19.

Kali terakhir dia mengambil bahagian adalah di Terbuka Australia pada Jun 2019 sebelum masalah usus yang sudah lama ditanggungnya terus menghantuinya.

Terdahulu, juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019, Cheam June Wei, 24, mudah menempah tempatnya di pusingan kedua perseorangan lelaki selepas menundukkan Ygor Coelho dari Brazil 21-11, 21-15.

Turut mengiringinya pemain professional negara, Soong Joo Ven, 25, yang menundukkan Johnnie Torjussen dari England 21-13, 21-19.

Di pusingan kedua, June Wei akan berdepan pencabar dari Jerman, Samuel Hsiao manakala Joo Ven pula menentang pilihan ketiga dari Denmark, Hans Kristian Vittinghus.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: