Antarabangsa Badminton Terkini

BAM perlu segera siapkan Zii Jia


Oleh : Subkhi Sudarji

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) disarankan segera mempersiapkan perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia dalam memastikan dia kekal konsisten sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selepas kejayaan merangkul kejuaraan All England, minggu lalu, kebanyakan negara sudah pasti akan membuat kajian terhadap corak permainan pemain berusia 23 tahun itu dan perkara itu perlu diatasi.

Tegasnya , Zii Jia memiliki potensi besar pada masa hadapan selepas dia berjaya menempatkan diri dalam kedudukan lapan terbaik dunia dalam tempoh setahun.

Katanya, selain jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang, Zii Jia juga dilihat antara atlet yang berpotensi untuk menyumbang pingat di Sukan Olimpik.

“Saya mula mengikuti perkembangan Zii Jia ini sejak tahun lalu di All England juga, macam mana dia kalahkan Jonatan Christie, Chen Long dan tewas di separuh akhir. Bagi saya dia adalah antara pemain yang bakal diberi perhatian ramai.

“Saya minta BAM jangan ambil masa panjang untuk mempersiapkan Zii Jia kerana sekarang ini kebanyakan negara sedang menjalankan kajian terhadap permainannya selepas dia berjaya menundukkan Viktor Axelsen.

“Matlamat utama Malaysia ialah meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik dan kami berharap Zii Jia akan kekal konsisten. Selepas ini di Terbuka Malaysia dan harap berterusan hingga bulan tujuh,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah MyFit@Motorsport di Kementerian Belia dan Sukan, sebentar.

Sebelum ini, Zii Jia melakar kejutan dengan menewaskan Axelsen yang juga bekas juara dunia 30-29, 20-22, 21-9 untuk muncul perseorangan lelaki Malaysia keenam menjuarai kejohanan badminton tertua di dunia.

Kemenangan di Birmingham itu membolehkan Zii Jia, 23, menamatkan penantian empat tahun Malaysia selepas kali terakhir muncul juara menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: