Badminton Semasa Terkini

Zii Jia kini pemain ranking ke-8 dunia

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Zii Jia tiba di KLIA, sebentar tadi.

KEJAYAAN merangkul kejuaraan All England membantu Lee Zii Jia melonjak ke tangga ke-8 ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan hari ini.

Ini adalah ranking tertinggi pernah diduduki Zii Jia yang genap berusia 23 tahun pada 29 Mac ini.

Kedudukan terbaru itu menyaksikan Zii Jia melonjak dua tangga daripada kedudukan ke-10 sebelum ini.

Pada masa sama harapan Viktor Axelsen, lawan yang dijinakkan Zii Jia di final All England, Ahad lalu, untuk merampas kembali ranking pertama dunia yang kali terakhir didudukinya pada 20 September 2018, tidak kesampaian.

Sebaliknya, Kento Momota dari Jepun, pemain yang ditewaskan Zii Jia di suku akhir All England, masih mengekalkan posisi itu biarpun kini dengan kelebihan mata yang tipis.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut memperbaiki kedudukan mereka apabila memasuki kelompok 20 terbaik hasil kemaraan ke suku akhir All England.

Juara Terbuka Switzerland itu kini berada di kedudukan ke-19 berbanding 22 sebelum ini.

Ia adalah peningkatan yang baik untuk pasangan yang baru digandingkan pada 2019 kerana sebelum Terbuka Switzerland yang berakhir 7 Mac lepas, ranking mereka adalah di kedudukan ke-30.

Sementara itu, kemaraan ke separuh akhir beregu campuran All England, gagal membantu pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memperbaiki ranking mereka.

Mereka kekal di tangga ketujuh berikutan jurang mata yang besar dengan pasangan di kedudukan keenam sebelum ini, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang menjuarai acara itu di All England.

Watanabe-Higashino kini naik ke tangga ke-5, memintas pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung yang tidak mengambil bahagian di All England.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: