Antarabangsa Permotoran Terkini

MotoGP Qatar 2021 : Marc Marquez sah tidak berlumba


MARC Marquez disahkan terlepas saingan di MotoGP Qatar 2021. Penunggang Repsol Honda itu masih belum dinyatakan pulih daripada cedera tulang humerus lengan kanannya.

Kemunculan Marquez di perlumbaan MotoGP memang amat dinanti-nantikan oleh peminat selepas menunjukkan tanda-tanda akan positif kira-kira dua minggu lepas.

Walaupun tidak mengikuti sesi pramusim di Qatar pada awal bulan ini, Marquez tetap berlatih bersendirian di Montmelo dan Portimao.

Namun begitu, kondisi lengannya belum 100 peratus cergas walaupun sudah dibenarkan memulas motor.

Setelah berbincang dengan pasukan doktor yang merawatnya, Marquez memutuskan untuk tidak beraksi lagi di Losail pada 28 Mac ini.

“Setelah menjalani imbasan terakhir dengan pasukan perubatan, doktor menyarankan saya bahawa sebaiknya tidak mengambil bahagian di MotoGP Qatar dan terus menjalankan proses pemulihan mengikut jadual.

“Saya ingin tampil di pusingan pembuka MotoGP 2021, namun kami harus terus berusaha memulihkan kondisi sehingga betul-betul baik dan boleh kembali berlumba,” katanya dipetik dalam laman rasmi Honda.

Bukan hanya di MotoGP Qatar, Marquez dijangka terlepas perlumbaan di MotoGP Doha seminggu kemudian kerana perlu menjalani pemeriksaan perubatan berikutnya pada 12 April 2021.

Setakat ini, pihak Honda belum mengumumkan pengganti Marquez. Namun besar kemungkinan penunggang ujian Honda, Stefan Bradl, yang akan mengisi posisinya nanti.

 


Add Comment

Click here to post a comment