Hoki Semasa Terkini

TNB-Maybank terikat , UniKL kekal pendahulu


Aksi pemain TNB dan Maybank yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

 

Oleh : Subkhi Sudarji

PENYERANG kebangsaan Faiz Helmi Jali memastikan TNB tidak berputih mata apabila menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Maybank pada perlawanan Liga Hoki Malaysia (Premier) di Stadium Hoki Nasional malam tadi.

Kedua-dua bekas juara liga itu terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat dalam perlawanan yang menyaksikan TNB lebih banyak menguasai tempo perlawanan.

Keputusan itu bermakna TNB kini tergelincir di tempat ketiga manakala Maybank jatuh satu tangga (ke-4) dan perlu memastikan kemenangan dalam dua perlawanan seterusnya untuk memastikan terus berada dalam kelompok empat teratas.

Terengganu Hockey Team (THT) mengambil alih kedudukan di tempat kedua liga selepas menundukkan skuad muda TNB 3-2 Thunderbolts pada satu lagi perlawanan menarik.

UniKL pula berada di landasan tepat dalam pemburuan piala kedua musim ini apabila terus mengungguli Liga selepas meraih mata penuh menumpaskan UiTM 3-0. UniKL di tangga teratas dengan 13 mata (menang 4 dan seri 1 perlawanan).

Maybank bermain baik pada dua suku pertama dan berjaya menyerap tekanan bertali arus TNB yang membariskan lapan pemain kebangsaan. Maybank sebaliknya menggunakan taktik serangan kilat untuk memerangkap benteng TNB.

Taktik itu nyata berhasil dengan kejayaan Maybank mendahului TNB menerusi jaringan padang Muhammad Syamim Naim Abd Hamid pada minit ke-24.

Kedudukan tidak berubah sehinggalah masuk suku keempat apabila Maybank gagal menyekat jaringan penalti sudut ketua pasukan TNB, Faiz Helmi Jali pada minit ke-51.

Menyedari hanya tiga mata penuh dapat mengukuhkan peluang masing-masing, TNB dan Maybank meningkatkan tempo permainan namun gagal mengubah keadaan.

Pengendali TNB Nor Azlan Bakar nyata agak kecewa dengan kegagalan anak didiknya memanfaatkan peluang terbuka di depan gol Maybank.

“Permainan suku pertama dan kedua agak mengecewakan tetapi kami bangkit pada suku ketiga dan keempat. Ternyata, kami lebih banyak mendapat peluang tetapi gagal melakukan penyudahan. Menang kita sasar tiga mata, tetapi apakan daya,” kata beliau yang mahukan pemain lebih fokus pada dua perlawanan penting selepas ini untuk memastikan kedudukan terbaik dalam liga.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: