Badminton Semasa Terkini

Harap ia jadi titik permulaan kepada kejayaan lain – Zii Jia


“KEMENANGAN ini sangat bermakna dan harap ia dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan betapa juara baru perseorangan lelaki All England, Lee Zii Jia kini lebih bersemangat selepas mengatasi halangan besar menjuarai kejohanan utama.

Kalau selama ini dia dibebani dengan harapan tinggi sebagai pengganti kepada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kini Zii Jia sudah beroleh ‘penawar’ untuk duduk sama tinggi dengan pemain-pemain handalan dunia yang lain.

“Kejuaraan ini sememangnya menjadi impian setiap pemain badminton, dan saya gembira dapat memenuhi impian ini.

“Bukan mudah untuk menang apa lagi lawan adalah pemain nombor dua dunia yang juga juara bertahan… dia juga sangat konsisten,” kata Zii Jia ketika dihubungi CAKAPSUKAN.

Kejayaannya itu membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah wang sebanyak US$59,000 iaitu kemenangan terbesar dalam kariernya berikutan All England berstatus Super 1,000.

Zii Jia muncul juara selepas menundukkan juara bertahan, Viktor Axelson dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 dalam pertarungan selama 73 minit.

Dia menjadi pemain kedua termuda negara menjuarai perseorangan lelaki All England sebelum genap berusia 23 tahun pada 29 Mac selepas Hafiz Hashim melakukannya pada 2003 kira-kira enam bulan sebelum mencapai usia 21 tahun.

Zii Jia berkata keyakinannya sudah kembali selepas empat kejohanan yang mengecewakan sebelum ini iaitu di dua Terbuka Thailand, pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkokm Januari lalu serta di Terbuka Switzerland, awal bulan ini.

“Saya berharap dapat mengekalkan rentak seperti ini,” katanya yang akan menyertai Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura, masing-masing pada akhir Mei dan awal Jun nanti.

Sementara iu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choon Hann berkata dua set pertama final itu sememangnya cukup mendebarkan.

“Mata begitu rapat sekali. Set ketiga pula walaupun nampak menang mudah, ia tetap sengit terutama sebelum mencapai mata ke-11.

“Apapun ini adalah kemenangan yang baik untuk Zii Jia,” katanya.

end


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: