Antarabangsa Badminton

Zii Jia akhiri penantian kejuaraan negara di All England

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

LEE Zii Jia beroleh hadiah awal ulangtahun terbaik untuk dirinya apabila melengkapkan impian menjuarai kejohanan All England selepas menundukkan juara dunia 2017, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 malam tadi waktu Malaysia.

Ia adalah kemenangan terbaik untuk Zii Jia yang akan genap berusia 23 tahun pada 29 Mac ini, kerana bukan sahaja menewaskan juara bertahan tetapi turut menebus kekalahannya di separuh akhir tahun lalu kepada lawan sama.

Pemain tinggi lampai dari Alor Setar ini yang disebut-sebut bakal pengganti Datuk Lee Chong Wei, setidak-tidaknya sudah mengatasi seniornya.

Zii Jia menjuarainya All England sebelum usianya 23 tahun berbanding legenda badminton dunia itu yang mengutip kejuaraan pertama daripada empat miliknya sebelum berumur 28 tahun pada 2010.

Chong Wei adalah pemain terakhir negara muncul juara dalam acara perseorangan lelaki di All England apabila memenanginya buat kali keempat pada 2017.

Kejayaan ini membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah wang sebanyak US$59,500 manakala Axelsen yang juga pilihan kedua, terpaksa berpuas hati dengan US$28,900.

Aksi set pertama cukup mendebarkan dengan mata sentiasa terikat walaupun pada satu masa Zii Jia mendahului selesa pada kedudukan 19-16 sebelum Axelsen kembali mengikat kedudukan 19-19.

Selepas itu, mata terus begitu rapat sehingga penentuan sudden-death mata ke-30 menjadi penentuan berikut kedudukan terikat 29-29. Pukulan jauh kebelakang Axelsen menyerahkan set itu kepada Zii Jia dalam masa 32 minit.

Set kedua menyaksikan Zii Jia mengutip tujuh mata berturut-turut untuk mendahului 18-14, namun gagal mengekalkan kelebihan itu apabila Axelsen bangkit menyamakan kedudukan dan seterusnya menang 22-20 bagi memaksa penentuan hingga ke set ketiga.

Set penentuan menjadi pentas menguji kekuatan mental kedua-dua pemain itu dan jelas Zii Jia muncul pemenang dengan 21-9 dalam pertarungan keseluruhan yang mengambil masa 73 minit.

Sebelum ini, Zii Jia hanya menang sekali daripada empat pertemuan dengan Axelsen dengan perlawanan terakhir mereka di pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkok, Januari lalu di mana pemain negara tewas 15-21, 4-21.

Zii Jia mara ke final selepas menundukkan Mark Caljouw dari Belanda, 21-13, 21-17 manakala Axelsen menyingkirkan rakan senegara, Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17.

Kejuaraan ini pasti melegakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta penyokong negara selepas bimbang dengan krisis keyakinan yang dialami Zii Jia dalam empat kejohanan awal yang disertainya tahun ini.

Dalam tiga kejohanan di Bangkok, Januari lalu, Zii Jia tewas di suku akhir Yonex Terbuka Thailand diikuti kekalahan pusingan pertama di Toyota Terbuka Thailand dalam kalah dalam tiga perlawanan kumpulannya di pusingan akhir Jelajah Dunia.

Dia kemudian tersingkir di separuh akhir Terbuka Switzerland yang berstatus Super 300 ketika tiada ramai pemain handalan dunia, dua minggu lepas.

Namun, sebaliknya Zii Jia menjadikan pentas All England untuk menyambung kebangkitannya yang ditunjukkan tahun lepas, selepas ia terjejas akibat pandemik Covid 19 yang menyaksikan banyak kejohanan dibatalkan sebaik berakhir kejohanan edisi lalu.

Sebelum itu, juara dunia 2017, Nozomi Okuhara muncul juara dalam perseorangan wanita untuk mengutip gelaran keduanya di All England selepas 2016, dengan menundukkan pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong 21-12, 21-16.

KEPUTUSAN AKHIR

Beregu lelaki: Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe (JPN) mn Takeshi Kamura-Keigo Sonoda (JPN) 21-15, 17-21, 21-11

Beregu wanita: Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (JPN) mn Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (JPN) 21-18, 21-16

Perseorangan wanita: Nozomi Okuhara (JPN) mn Pornpawee Chochuwong (THA) 21-12, 21-16

Perseorangan lelaki: Lee Zii Jia (MAS) mn Viktor Axelsen (DEN) 30-20, 20-22, 21-9


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: