
Oleh : Subkhi Sudarji
PENYANDANG juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) hadir ke Ipoh menentang Perak FC pastinya menghadirkan ancaman besar buat tuan rumah selepas skuad bimbingan Benjamin Mora itu dipaksa berkongsi mata dengan Selangor FC dilaman sendiri Rabu lalu.
Kehilangan Safawi Rasid yang terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga minggu perlu dilupakan segera dengan peningkatan corak permainan bagi memastikan tiga mata mampu dibawa pulang ke Johor Bahru malam ini.
Memetik kata-kata pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan pemainnya terus memandang ke hadapan kerana perjalanan masih jauh adalah mesj tepat yang disampaikan TMJ.
“Pertama sekali, dua penalti tak masuk dan bola kena palang. Tiada tuah. Keduanya, apabila Elche seri dengan Barcelona, Barcelona sedih dan Elche gembira, itu cerita dia. Jadi sekarang kita pandang ke depan dan sedia untuk aksi berikutnya, perjalanan masih jauh,” tulis Tunku Ismail di ruang komen Instagram miliknya selepas pasukannya gagal meraih mata penuh menentang Selangor FC.

Bagi Perak FC pula pertembungan malam ini mungkin akan merubah senario pasukan selepas hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan untuk mengutip empat mata menghuni tangga ke 10 liga.
Kecundang 0-3 ditangan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) memberi isyarat dan tamparan buat pengendalinya, Chong Yee Fatt untuk bekerja keras merangka strategi berdepan Harimau Selatan yang terluka.





Add Comment