
PENJAGA gawang UiTM FC, Dominik Picak wajib memainkan peranan penting jika diturunkan menjelang aksi pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium UiTM Shah Alam malam ini.
Sepanjang empat perlawanan Liga Super musim ini, pemain kelahiran Croatia itu bagaikan tidak menepati jangkaan selepas bolos lapan gol.
Bermula kekalahan 2-1 di tangan Terengganu FC disusuli kekalahan 0-1 di tangan Kuala Lumpur City FC sebelum dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0, Dominik yang langsung tidak senaraikan ketika seri tanpa jaringan bertemu Pulau Pinang dilihat masih bergelut dengan prestasi terbaiknya.
Tiada jalan mudah buat Dominik, 29, di mana dia harus membuktikan tag pembeliannya yang seharusnya berbaloi buat pasukan bimbingan Frank Bernhardt pada musim ini.
UiTM kini berada keadaan tertekan selepas menduduki tangga tercorot liga selepas sekadar mengutip satu mata sepanjang empat perlawanan musim ini.
Apa yang pasti Bernhardt harus segera mencari resepi terbaik dapat mempersiapkan skuadnya lebih ampuh sebagaimana kejayaan UiTM menduduki tangga keenam Liga Super musim lalu.
Selain prestasi kurang memberangsangkan Dominik, UiTM juga berdepan masalah kehilangan Adam Michael Reed.
Pemain tengah Filipina itu telah disahkan meninggalkan UiTM selepas menandatangani kontrak dengan kelab Filipina, United City FC.
Pemain itu sekadar bermain dua perlawanan iaitu perlawanan menentang Terengganu dan Pulau Pinang.
Kini pemain-pemain tempatan bakal menjadi sandaran perjuangan UiTM dalam misi untuk terus revelan dalam divisyen nombor satu negara.
Apa yang pasti, pertembungan menentang KDA bukan satu ujian yang mudah di mana Bernhardt perlu mencari jalan untuk keluar dari zon penyingkiran liga.
Add Comment