Badminton Terkini

Zii Jia kejutkan Momota mara ke separuh akhir


 

 

Momota tewas kepada pemain negara, Ziii Jia suku akhir.

‘PENAWAR’ yang dicari Lee Zii Jia untuk mengatasi krisis keyakinannya kebelakangan ini, berjaya diperolehinya di kejohanan All England malam tadi waktu Malaysia.

Kemenangan ke atas pilihan utama yang juga pemain nombor satu dunia, Kento Momota 21-16, 21-19 di suku akhir, harus menebus kegagalan dalam empat kejohanan sebelum ini yang mencetuskan keraguan ke atas kemampuannya.

Kejayaan ke atas Momota yang dilakukan dalam masa 55 minit, bukan setakat yang pertama dalam tujuh pertemuan mereka, tetapi juga menyamai pencapaiannya mara ke separuh akhir kejohanan sama tahun lalu.

Sebelum ini, Zii Jia tidak pernah mencuri sebarang set daripada Momota daripada enam pertemuan sebelum ini.

“Hari ini Zii Jia bermain dengan bagus, tiada tekanan dan begitu yakin. Kita memang fokuskan kepada taktikal.

“Zii Jia bermula dengan baik sebab sudah dipersiapkan dengan perancangan awal dan dia dapat menerapkan dengan baik, semuanya nampak begitu menjadi.

“Tahap keyakinannya juga tinggi dan ini memberi kelebihan dalam perlawanan tadi,” kata jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock kepada CAKAPSUKAN.

Di separuh akhir, Zii Jia akan menentang Mark Caljouw dari Belanda yang mara selepas menundukkan pemain India, Lakshya Sen 21-17, 16-21, 21-17.

Sebagai rekod, separuh akhir tahun lalu adalah aksi terakhir Zii Jia di pentas antarabangsa sebelum pandemik Covid 19 merencatkan carta peningkatannya.

Sebelum ini, Zii Jia gagal menyerlah di dua kejohanan Terbuka Thailand dan pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkok, Januari lalu dan Terbuka Switzerland, dua minggu lepas sehingga mencetus kebimbangan atas kemampuannya.

Ini juga adalah kejohanan pertama dalam siri Jelajah Dunia untuk Momota selepas kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur pada Januari 2020 serta positif Covid 19, awal tahun ini.

KEPUTUSAN SUKU AKHIR
Beregu lelaki:
Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (DEN) mn Christo Popov-Toma Junior Popov (RUS) 21-10, 21-14.

Beregu wanita:
Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (JPN) mn Chloe Birch-Lauren Smith (ENG) 14-2, 21-12, 21-14.
Selena Piek-Cheryl Seinen (NED) mn Ashwini Ponnappa-Reddy Sikki (IND) 24-22, 21-12.

Perseorangan lelaki:
Lee Zii Jia (MAS) mn Kento Momota (JPN) 21-16, 21-19

Mark Caljouw (NED) mn Lakshya Sen (IND) 21-17, 16-21, 21-17.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading