
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
PENGENDALI Perak FC, Chong Yee Fatt tidak merasakan keputusan membuat pertukaran beberapa dalam kesebelasan utama sebagai satu pertaruhan.
Walaupun perubahan yang dilakukan diharap mampu menghadirkan impak buat pasukan, ia menjadi sebaliknya apabila terpaksa akur tewas 3-0 kepada Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Lebih perit keputusan itu menyaksikan rekod tanpa kalah dengan Kuala Lumpur sejak 11 tahun lalu lebur.
Antara pemain utama yang diletakkan dalam senarai simpanan Yee Fatt adalah bintang naturalisasi negara, Guilherme De Paula dan faktor keletihan dikatakan menjadi alasan utama kepada perubahan berkenaan.

“De Paula antara beberapa pemain yang mengadu letih. Daripada segi persefahaman pemain, saya boleh katakan ia tidak begitu teruk.
“Cuma kami perlu lebih konsisten dan fokus sepanjang 90 minit,” katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan semalam.
Pada perlawanan semalam, jaringan Dominique Da Sylva dan dua gol daripada Romel Morales melengkapkan malam gemilang Kuala Lumpur City FC.
Mengulas lanjut, Yee Fatt turut menurunkan tonggak Perak FC II, Izzuddin Roslan dalam kesebelasan utama untuk cuba menampung pemain utama yang mengalami keletihan.
“Beri peluang itu satu hal tetapi saya bawa beberapa pemain dari ‘feeder club’ adalah dengan harapan beri kesegaran kepada pasukan,” katanya.
[…] KREDIT FEATURED IMAGE: CAKAP SUKAN […]