Bola Sepak Semasa Terkini

Lindungi Arif Aiman daripada kemewahan publisiti


Arif Aiman meledak gol pada aksi menentang Uitm FC.

Oleh MOHD FARIQ

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan nama pemain dalam pembikinan, Arif Aiman Hanapi bakal menjadi satu fenomena kepada bola sepak Malaysia suatu hari nanti.

Sejak membuat penampilan sulung bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika menentang Felda United pada 14 Mac tahun lalu, pemain berusia 18 tahun ini jelas berada dalam kelas tersendiri.

Sepanjang empat perlawanan Liga Super musim ini, Arif Aiman dilihat telah berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad kendalian Benjamin Mora.

Bukan satu perkara menghairankan apabila seorang anak muda yang berbakat besar, pantas, memiliki keupayaan mengelecek dan bijak membuat hantaran ini telah sebaris dengan pemain-pemain ternama dalam skuad Harimau Selatan.

Malah penulis sendiri berada di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri semalam bagaikan tidak percaya kelibat sosok pemain muda ini menunjukkan potensi cukup besar ketika JDT terikat 1-1 dengan Selangor.

Berdasarkan rekod penulis, Arif Aiman menjadi pemain gantian ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA), Pulau Pinang dan Uitm manakala Selangor menjadi aksi penuh buat pemain cilik ini bermain dalam tempoh 90 minit.

Tidak dilupakan Arif Aiman turut melakarkan nama selaku penjaring musim ini dengan menjaringkan satu gol ketika membelasah UiTM FC 4-0 pada minggu lalu.

Malah, penulis juga sempat meninjau perkembangan di laman sosial dan tepat ramalan penulis apabila nama Arif Aiman mula disebut-sebut sebagai ‘the next wonderkid of Malaysia’ pada masa akan datang.

Tidak dapat disangkal nama Arif Aiman semakin melonjak naik tetapi penulis meramalkan perjalanan pemain muda ini bakal dijaga sepenuhnya oleh JDT.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

 

TMJ PAKAR MEMBENTUK MENTALITI PEMAIN MUDA JDT

Sebelum penulis buka bicara lebih panjang, penulis telah lama menyedari Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa memiliki visi dan misi tinggi termasuk memastikan perkembangan pemain muda tidak diganggu.

Jika diperhatikan, kebanyakan pemain-pemain muda JDT di bawah berusia 21 tahun tidak sering menghadiri sesi temu ramah bersama mana-mana media tempatan.

Kenapa? Di sini lagi penulis mengagumi kebijaksanaan Tunku Ismail.

Sama seperti falsafah pengurus-pengurus terkemuka di dunia antaranya Alex Ferguson, pemain-pemain muda harus dibimbing dalam penjagaan daripada pertuturan, perbuatan dan imej ketika berdepan dunia media.

Malah bekas pengurus Manchester United itu sendiri mengakui beliau tidak membenarkan beberapa pemain mudanya ketika itu antaranya Ryan Giggs menghadiri sidang media atau bertemu dengan mana-mana wartawan.

Harus diingat tekanan ketika bermain di dalam padang dan tekanan berdepan publisiti ini antara faktor mengapa sebahagian besar pemain muda menangani persepsi sekali gus menjurus kemusnahan jangkaan potensi.

Justeru, penulis meramalkan bentuk corak Tunku Ismail persis seperti Ferguson di mana baginda bukan sahaja menitikberatkan persembahan di atas padang sebaliknya turut menjaga pemain mereka di luar padang agar memastikan mentaliti mereka berada dalam landasan sebenar.

Jadi tak pelik buat kita jika melihat Tunku Ismail yang begitu cukup terperinci menjaga pemainnya, telah memenangi tujuh kali Liga Super berturut-turut bukan?

Mempamerkan aksi berkualiti ketika diturunkan menentang Selangor FC, malam tadi.

 

KEMASYHURAN DI ATAS PADANG TAK SAMA DI LAMAN SOSIAL

Apa yang dilakukan Tunku Ismail adalah sebahagian pendidikan penting kepada pemain khususnya pemain muda.

Jika kita perhatikan beberapa prospek pemain muda negara yang sepatutnya menjadi tonggak pasukan kebangsaan ketika ini, kebanyakan telah banyak tersandung dek kerana publisiti di luar padang.

Tidak dapat dinafikan pemain-pemain memerlukan pendedahan malah penulis sendiri selaku media sendiri teruja untuk mengadakan sesi temuramah bersama prospek kebangsaan.

Namun harus diingat bukan sahaja kelab atau persatuan, kita semua terlibat dalam
agenda nasional ini di mana penulis optimis semua pihak mahu menyaksikan pemain-pemain kita melebarkan karier di luar negara dan inilah salah satu mentaliti kita semua harus memahami kenapa pemain-pemain muda harus bebas daripada sebarang publisiti.

Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah memberikan sokongan daripada jauh dan terus menikmati persembahan Arif Aiman di atas padang.

Nasihat penulis kepada Arif Aiman, kamu cukup bertuah adik kerana dapat menyarungkan jersi kelab terbaik di Asia Tenggara dan kamu sudah berada di platform tepat untuk komersialkan bakat kamu ke luar negara.

Akhir kata daripada penulis, sikit-sikit lama-lama akan jadi bukit.

Teruskan mengaum Arif Aiman, dunia bakal mengenali nama kamu


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: