
Oleh : Subkhi Sudarji
SERAMAI 600 atlet merangkumi 28 jenis sukan yang menjalani latihan secara kuarantin bakal “dibebaskan” hari ini selepas hampir dua bulan dikurung.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua mereka yang sebelum ini menjalani latihan secara kuarantin berikutan peningkatan kes Covid 19 tahun lepas kini diberi kebenaran menjalani latihan secara terkawal.
Jelasnya, selain tahap kecergasan, daya saing dan prestasi, kesihatan mental atelt juga perlu dijaga.
“Saya fikir sudah sampai tahap atlet diberikan kelonggaran dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet yang mematuhi segala perancangan serta pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan.
“Saya harap dengan pelepasan ini, mereka dapat menjalani latihan seperti biasa memandangkan status negeri Selangor pun sudah tukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kadar kes Covid 19 sudah pun menurun,” katanya.
Sebelum ini kesemua atlet berkenaan menjalani latihan secara pendekatan kuarantin dibeberapa lokasi yang ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kompleks Sukan Keramat, Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Veledrom Nilai sejak Januari lalu.





Add Comment