Bola Sepak Semasa Terkini

Kemenangan tiup semangat Sarawak United


Sarawak United lakar tiga kemenangan berturut-turut di Liga Premier musim ini. FOTO : MFL

 

KETUA jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan mengharapkan pemain-pemainnya akan mengekalkan rentak konsisten bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini selepas melakar kemenangan kali ketiga berturut-turut dengan membenam cabaran pasukan jiran, Kuching City FC, 2-0 di Stadium Hang Jebat, pada Selasa

Tidak menafikan sembilan mata maksimum yang diraih Sarawak United telah meniup semangat berbeza kepada semua pemain, Elavarasan mengakui perjalanan masih jauh dan situasi bagi setiap perlawanan pasti berbeza.

Dalam masa sama, beliau mengakui kemenangan dengan Kuching City antara detik penting buatnya memandangkan aksi ‘derby Sarawak’ sememangnya menjadi satu ujian paling sukar buat Sarawak United setakat ini.

“Pertama sekali saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain kerana dapat mengekalkan rekod kemenangan buat kali ketiga dan ini satu rekod yang perlu kita teruskan.

“Namun, setiap perlawanan tidak sama dan saya mahu pemain cuba sedaya upaya untuk terus konsisten.

“Ini merupakan tiga mata yang penting kerana pertemuan ‘derby’ sememangnya sukar buat mana-mana pasukan.

“Cuma jaringan awal pada permulaan dan penghujung babak pertama telah membantu pasukan untuk memenangi perlawanan walaupun Kuching menguasai sebahagian besar permainan,” katanya.

Sementara itu, Elavarasan memberikan pujian kepada barisan pertahanan yang diterajui Taylor Regan kerana masih dapat mempastikan gawang Sarawak United tidak dibolosi selepas tiga perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: