
Oleh : Subkhi Sudarji
PERTEMBUNGAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini pastinya dinantikan semua peminat bola sepak terutamanya penyokong kedua-dua pasukan.
Kekalahan 1-6 musim lalu di tempat lawan pastinya mahu ditebus skuad bimbingan Karsten Neitzel namun selaku tuan rumah dan prestasi terbaik yang dimiliki Harimau Selatan ketika ini ia bukan tugas mudah buat Gergasi Merah Kuning.
Disebalik prestasi semasa yang dibicarakan, tumpuan kini pastinya terarah kepada kemungkinan kelibat pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh akan diturunkan mengisi kekosongan ditinggalkan Safawi Rasid yang mengalami kecederaan.
Jika benar Sumareh diturunkan malam ini, ia merupakan aksi pertama bekas pemain Pahang FA dan kelab Thailand, Police Tero FC itu bersama juara Liga Super tujuh kali berturut-turut.
Selain Sumareh, JDT juga memiliki pemain lain antaranya Arif Aiman yang membuktikan kemampuan ketika menggantikan tempat Safawi sebelum ini, Ramadhan Saifullah, Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid .

Berbalik pula kem Selangor FC, keputusan seri 1-1 yang diraih pada aksi menentang Kuala Lumpur City FC (KLUFC) Sabtu lalu memberikan gambaran jelas kerja kuat perlu dilakukan barisan pemain seandainya berhajat meraih kemenangan kedua selepas empat perlawanan berlangsung.
Kembalinya Brendan Gan pada aksi Sabtu lalu memberikan sedikit kelegaan buat pasukan selepas dia tidak beraksi pada dua perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC.
Selepas berakhirnya tiga perlawanan, JDT selesa dikedudukan teratas liga dengan mengutip mata penuh dari kesemua perlawanan manakala Selangor FC pula dikedudukan kelima dengan mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan kalah.
Apa yang pasti , corak permainan DNA Jerman yang kini diterapkan dalam kem Selangor FC bakal teruji sepenuhnya malam ini.
Add Comment