Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Hang Yee-Eng Cheong mampu buat kejutan di All England


Low Hang Yee / Ng Eng Cheong

 

GANDINGAN muda, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong mampu melakar kejutan biarpun akan beraksi kali pertama di kejohanan tertua badminton dunia di All England yang bermula di Birmingham hari ini.

Tanpa beregu utama, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sememangnya menyandarkan kepada Hang Yee, 24, dan Eng Cheong, 22, untuk menggunakan kesempatan terbaik menonjolkan kemampuan mereka.

Aaron-Wooi Yik, tidak mengambil bahagian berikutan kejohanan berstatus Super 1,000 ini tidak menawarkan mata kelayakan Olimpik.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann berkata beliau percaya Hang Yee-Eng Cheong mampu mencatat keputusan yang membanggakan di Birmingham berikutan aksi yang konsisten sejak kebelakangan ini.

“Selepas bermain dengan baik di Terbuka Switzerland dua minggu lalu, saya harap mereka dapat meneruskan aksi seperti itu.

“Mereka kini lebih berkeyakinan bila berdepan pasangan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

“Apa yang lebih penting adalah tidak gentar dan harus bangga mendukung cabaran negara,” kata Choon Hann kepada CAKAPSUKAN.

Choon Hann menjelaskan Hang Yee, dan Eng Cheong, mempunyai ciri-ciri itu untuk membolehkan mereka membuat penampilan yang lebih bermakna di Birmingham.

Hang Yee-Eng Cheong yang kini menduduki ranking ke-77 dunia, akan membuka kempen All England awal pagi esok, menentang Mathias Christiansen-Niclas Nohr dari Denmark, gandingan yang berada 22 tangga di bawah mereka.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong

Andai mereka melepasi halangan itu, Hang Yee-Eng Cheong berkemungkinan berdepan senior mereka, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di pusingan kedua.

Namun, sebelum itu, V Shem-Wee Kiong perlu menampilkan aksi terbaik bagi menebus kekalahan kepada gandingan nombor 19 dunia, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman yang menundukkan mereka di pusingan kedua Terbuka Switzerland.

Di Terbuka Switzerland, Hang Yee-Eng Cheong melakar kejutan menewaskan pilihan keempat dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge yang juga pasangan nombor 12 dunia, 10-21, 21-15, 21-15 di pusingan kedua untuk menempah tiket ke suku akhir.

Harapan untuk mereka melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen  17-21, 21-16, 13-21.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: