Komuniti Uncategorized

Shah Alam Extreme Park bakal berwajah baru


Shah Alam Extreme Park akan diberi sentuhan baru selepas ini. 

OLEH : MOHD FARIQ

TAMAN Sukan Lasak Shah Alam (Shah Alam Extreme Park) di Seksyen 13 selepas ini akan berwajah baru dengan imej yang lebih segar.

Pusat ini menjadi pilihan destinasi untuk orang ramai di kawasan sekitar menghabiskan masa bersama pada hujung minggu termasuk melakukan aktiviti yang menyihatkan.

Justeru itu, bagi memastikan ia terus terpelihara dan kekal relevan dikunjungi, segala kemudahan di taman itu akan diperbaiki dan diperindahkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pusat sukan lasak, yang pertama kali dibuka pada tahun 2009, memerlukan kerja-kerja pembaikan dilakukan di gelanggang papan selaju, kawasan berbasikal dan kemudahan memanjat dinding.

Menurutnya, segala kos bagi tujuan penaiktarafan adalah melibatkan kira-kira RM2 juta.

“Sekiranya kita ingin memasang struktur bumbung, harga dan kos adalah antara RM2 juta hingga RM3 juta. Kos (RM2 juta) adalah anggaran kasar yang dibuat pihak kami.

“Kami akan membincangkannya dengan pemaju berkaitan pemasangan bumbung di Taman Sukan Lasak Shah Alam,” kata Amirudin kepada CAKAPSUKAN.

Pada 30 Mei 2016, taman sukan ekstrem ini menerima nafas baru melalui projek perintis oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Inisiatif Komuniti Belia Selangor bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dilakukan untuk mendorong para belia meluangkan masa lapang mereka menjalankan aktiviti bermanfaat seperti sukan dan rekreasi.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d