Bola Sepak Terkini

Tony sedia jadi Presiden MFL


Hamidin (kiri) bersama Tony  pada majlis  Menandatangani Lanjutan Perjanjian antara  FAM dan  PSM di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Oleh : Subkhi Sudarji

TOKOH korporat terkenal Tan Sri Tony Fernandes bersedia menerima jawatan sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jika di tawarkan jawatan tersebut.

Jelas Tony, dia percaya mampu menyumbang sesuatu kepada badan pentadbir, Liga Malaysia (Liga M) itu.

“Kalau (jadi Presiden MFL), saya akan lakukannya. Adakah itu jawapan yang jujur? Orang lain mesti akan katakan tidak pasti. Saya sukakan bola sepak dan saya sayangkan Malaysia.

“Kalau mereka berpendapat saya boleh menyumbang, saya sedia menerimanya. Saya sudah memohon (jawatan) dalam sidang media sekarang,” jelasnya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Lanjutan Perjanjian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Tony yang juga Pengerusi PSM serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd, mengakui kehadiran ‘orang luar’ dalam sesuatu organisasi sememangnya satu tindakan yang baik khususnya bagi menyuntik idea yang lebih segar sekali gus memajukan lagi organisasi terbabit.

“Kehadiran orang luar adalah sangat baik. Kenapa? Saya pun orang luar dalam perniagaan penerbangan kerana saya dalam muzik sebelum ini, saya adalah Raja Dangdut.

“Tetapi secara tiba-tiba saya terbabit dalam penerbangan walaupun tiada pengalaman. Jadi, ini membolehkan saya berfikir dengan cara yang berbeza. Justeru, Hamidin ada visi untuk mendapatkan orang luar kerana mereka boleh tampil dengan idea yang baharu.

“Ada kalanya apabila anda sudah terlalu lama dalam sesuatu industri, anda akan berfikir dengan cara yang sama. Adanya orang luar yang masuk, mereka pasti ada idea baharu,” katanya.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan sepenuhnya kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menentukan calon penggantinya.

“Saya akan tinggalkan MFL tidak lama lagi, jadi biarlah Ahli Lembaga Pengarah yang menentukan calon-calon yang layak mengikut peraturan MFL.

“Tony Fernandes adalah tokoh besar dalam bola sepak, mungkin dia salah seorang calon, tapi biarlah Ahli Lembaga Pengarah yang tentukan, kalau tak saya tidak berlaku adil,” ujarnya yang turut memberikan pandangan calon berkenaan perlulah berdaya saing dan memahami bola sepak Malaysia.

Sabtu lalu, Hamidin yang merupakan Presiden FAM semasa sidang media Kongres FAM ke 57 memaklumkan keputusan untuk meletak jawatan Presiden MFL dalam masa terdekat dan penggantinya bukanlah dari kalangan Exco FAM yang baru dilantik pada kongres berkenaan.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: