Bola Sepak Terkini

Hanya rumput SNBJ jadi punca


Tony (kanan) menjelaskan reka bentuk SNBJ adalah antara yang terbaik di dunia ketika ini.

Oleh : Subkhi Sudarji

SEJUMLAH RM10 juta bakal diperuntukkan bagi menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan fokus utama menggantikan rumput baharu di venue itu.

Usaha menaik taraf ini juga merangkumi penyelenggaraan padang, bangunan,  fasiliti kemudahan dalam dan luar stadium untuk kemudahan serta keselesaan pengunjung.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes berkata, masalah utama yang sering mencacatkan imej stadium itu hanyalah rumputnya hingga sering menjadi pertikaian pasukan luar negara apabila beraksi di situ.

“Stadium ini cukup cantik dan antara yang terbaik di dunia. Malah, berani saya katakan kemudahan dan reka bentuk stadium ini adalah antara yang terbaik di dunia ketika ini.

“Tetapi ada satu masalah iaitu rumput. Jadi saya dah bentangkan kepada kerajaan dan mereka bersetuju untuk menukar keadaan padang yang lebih baik.

“Saya mahu selepas ini pasukan luar yang datang bermain di sini contohnya Barcelona akan balik dengan kegembiraan kerana dapat beraksi di atas padang terbaik dan kemudahan stadium yang canggih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perjanjian persefahaman di antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pada majlis itu, FAM dan PSM mengumumkan lanjutan perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2025 untuk Stadium Nasional yang terletak di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di Bukit Jalil terus menjadi gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam perkembangan sama,  Tony juga mengesahkan pihaknya merancang untuk membina sebuah muzium sukan di stadium berkenaan.

“Terdapat beberapa perancangan yang dibincangkan dengan pihak FAM seperti pembinaan muzium sukan dan sebagainya. Walau bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan dan memerlukan penilaian teliti supaya pelaksanaannya dapat memberi kesan positif kepada semua pihak,” katanya.

Kali terakhir skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe beraksi di Stadium Nasional ialah pada 19 November 2019 ketika menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum aksi berikutnya ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading