
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
CHEF de Mission Sukan SEA 2021, Datuk Hamidin Mohd Amin membuktikan komitmennya apabila terus mempengerusikan mesyuarat awal kumpulan gerak kerja.
Walaupun baru saja selesai Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-57, dua hari lalu, Hamidin enggan menangguhkan tanggungjawab diamanahkan kepadanya.
Antara perkara yang dikenalpasti menjurus skop tugasan kumpulan gerak kerja CDM dan sekreteriat kontinjen negara.
“Penting untuk kita mengenal pasti setiap skop tugasan petugas bagi memastikan keselarasan kerja.
“Hari ini kita melihat kepada senarai semak tugasan sebelum, sepanjang dan selepas temasya berlangsung,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama gerak kerja CDM Vietnam 2021.
Dalam mesyuarat sama turut membincangkan tentang pemilihan timbalan CDM yang akan diletakkan dalam senarai pendek sebelum keputusan dibuat.
“Hari ini saya sudah menerima cadangan lapan nama dan dijangka akan menerima beberapa lagi nama dalam minggu ini.
“Saya bersama jawatankuasa pemilihan akan menentukan calon yang dirasakan memenuhi kriteria ditetapkan dan akan mengumumkan siapa timbalan CDM dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.
Add Comment