Bola Sepak Semasa Terkini

Tugas anda bermula sekarang!!!


Oleh MOHD FARIQ

“SAYA tak mampu buat seorang diri, saya perlukan anda semua,”

Inilah kata-kata yang membuatkan air mata jantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berjurai ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 di Putrajaya Sabtu lalu.

Penulis tergamam. Penulis meletakkan pen dan terus melihat mimik muka Hamidin yang gagal menahan rasa sebaknya.

Penulis bagaikan tidak percaya dan rasa tergamam itu membuatkan penulis tidak berminat lagi membuat sebarang catitan di mana sebelum ini menjadi amalan itu adalah lazim bagi penulis dalam majlis besar seperti Kongres FAM ini.

Jujur cakap inilah kali pertama penulis sepanjang 30 tahun melihat Hamidin yang sebelum ini memiliki karakter ketokohan berani, gagah dan tegas dalam dunia bola sepak tempatan akhirnya menangis di depan khalayak ramai.

Kenapa Hamidin menangis? Itu kita semua perlu berfikir sejenak.

HAMIDIN SEORANG YANG AMANAH PIKUL TANGGUNGJAWAB

Secara teori penulis menganggap tekanan sudah mula dirasai oleh Hamidin tetapi penulis yakin air mata yang mengalir itu bukan bersentimenkan ketakutan sebaliknya disebabkan amanah yang dipikul untuk meneruskan lagi kepimpinan bagi penggal kedua sebagai Presiden FAM.

Hamidin merupakan seorang sosok yang sentiasa berterus-terang, lantang dan sentiasa memiliki hubungan diplomatik yang cukup tinggi.

Beliau sentiasa menyedari tuntutan terhadap sukan nombor satu negara ini sentiasa tinggi di mana itulah mengapa beliau sentiasa berkerja keras sehingga lebihan masa dan memerah keringat pada usianya yang kini mencecah 55 tahun.

Tatkala beliau dikritik, Hamidin menggandakan lagi kerja dan usaha itu bukan mahu menutup mulut segelintir pihak sebaliknya menunjukkan kecintaan terhadap sukan bola sepak sememangnya tiada tolok bandingan.

Takut bukan sesekali jawapan buat seorang yang bernama Hamidin ini tetapi penulis dapat merasai kesedihan itu adalah petanda ikhlas terhadap seseorang yang mencintai visi, bukan semata jawatannya.

Di sini kita harus mendalami serta fahami bahawa konsep sukan bola sepak tidak menuntut seorang hero sebaliknya ia memerlukan sokongan daripada semua pihak.

Tidak dapat dinafikan bahawa kepimpinan Hamidin berada dalam kelas tersendiri tetapi sampai bila kita harus bersandarkan kepada tokoh gemilang ini untuk terus memajukan bola sepak Malaysia?

SUDAH TIBA EXCO MAIN PERANAN PENTING DALAM BOLA SEPAK NEGARA

Sudah tiba masanya barisan kepimpinan yang terpilih dalam Kongres FAM ke-57 mempamerkan sesuatu kepada penyokong bola sepak Malaysia.

Kepada muka lama, buktikan kemampuan anda dalam membantu Hamidin dan hapuskan persepsi mengatakan Exco lama hanya goyang kaki.

Pendapat penulis, muka lama sudah lama berada di dalam sistem bola sepak atau lebih tepat, tidak perlu lagi diajar bagaimana cara berjalan dalam industri bola sepak dan tinggal hanya melaksanakan idea atau perkara yang tidak dicapai pada penggal sebelum ini.

Manakala kepada muka baharu, penulis ingin mengucapkan selamat datang dan jangan segan untuk memberikan nafas atau idea baharu kepada bola sepak Malaysia.

Muda, tua, baru atau lama itu bukan persoalan sebaliknya lebih afdal kita semua ada etika dan semangat untuk membangunkan kualiti sukan bola sepak yang semakin lama semakin bergerak pantas dalam era moden kini.

Sampai bila Exco seperti Christopher Raj atau Exco tertentu sahaja sebelum ini yang memainkan peranan di mana penulis mengharapkan kesemua Exco akan mengikuti jejak langkah sama yang sentiasa ke depan ketika sukan bola sepak berada dalam kesusahan.

Maksudnya, untuk berkomunikasi dengan media dan juga peminat menggunakan platform platform tertentu.

Tidak dilupakan juga sumbangan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi memainkan peranan penting sepanjang penggal lalu dan penulis optimis beliau berupaya mengulangi kerja kerasnya pada penggal baharu.

Dalam masa yang sama, penulis menggesa barisan kepimpinan Exco FAM yang terpilih kali ini tidak berat mulut untuk berkongsi sesuatu dengan pengamal media.

Ini kerana tidak cukup untuk Christopher atau hanya Exco tertentu sahaja untuk bersuara dan walaupun kamu memegang portfolio bukan dalam media sekali pun, bersuara sahaja demi kebaikan bola sepak negara.

Bercakap berkenaan portfolio, penulis berharap mana-mana kepimpinan baharu ini tidak cerewet untuk memilih tugas dan jalankan tanggungjawab itu seperti yang diamanahkan.

Muka lama atau muka baharu, itu bukan alasan memandangkan kalian sudah lama berada dalam sistem bola sepak negara.

Ini kerana kita harus sedar FAM bukan tempat kita mencari publisiti sebaliknya ini adalah medan kepada yang terpilih untuk memajukan bola sepak.

Hentikan stigma ‘Presiden FAM bekerja untuk Exco’.

Akhir kata daripada penulis, kejayaan tidak akan datang bergolek begitu sahaja

Jadilah sebahagian sejarah untuk membantu bola sepak negara dan ingatlah jawatan kamu bukan mencari nama sebaliknya ia adalah DEMI LENCANA DI DADA.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: