Badminton Semasa Terkini

Ujian sebenar Pearly-Thinaah di All England


 

Pearly-Thinaah mampu memberi saingan kepada lawan yang lebih ternama.

JUARA beregu wanita Terbuka Switzerland, Pearly Tan-M Thinaah masih memerlukan masa untuk berdiri sama tinggi dengan gandingan beregu wanita utama yang lain.

Ujian awal kematangan mereka adalah
apabila melangkah ke kejohanan All England, bermula Rabu ini kerana ia membabitkan kehadiran ramai pasangan handalan dunia.

Jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming menjelaskan walaupun Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sejak Siri Jelajah Dunia awal tahun ini, perjalanan mereka hanya baru bermula.

Berikutan itu, dia tidak mahu gandingan itu dibebani dengan harapan yang terlalu tinggi terutama oleh peminat badminton negara apabila beraksi di All England.

“Menjuarai Terbuka Switzerland sememangnya cukup menggembirakan kita.

“Barisan jurulatih juga mahu melihat kemampuan mereka dalam penampilan sulung di All England, sama seperti peminat badminton negara,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

CHAN CHONG MIN

Namun, katanya All England adalah berbeza dengan Terbuka Switzerland dan pasangan negara masih dalam proses persediaan sebelum dapat memberi cabaran kepada lawan dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Bagaimanapun, Chong Ming percaya andai diberi masa untuk gandingan itu meningkat, mereka mampu memberi saingan kepada lawan yang lebih ternama.

Di All England, Pearly-Thinaah akan membuka kempen menentang pilihan keempat dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Pearly, 20, dan Thinaah, 23, baru digandingkan pada 2019 dan kejuaraan di Terbuka Switzerland adalah gelaran pertama dalam Siri Jelajah Dunia.

Sebelum ini, mereka pernah menjuarai tiga kejohanan yang berstatus lebih rendah iaitu Siri Antarangsa Malaysia, Cabaran Antarabangsa India dan Cabaran Antarabangsa Bangladesh.

Sebagai rekod, Terbuka Switzerland berstatus Super 300 iaitu tahap keempat dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia manakala All England pula adalah Super 1000 iaitu tahap tertinggi.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: