
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
DISEBALIK kekalahan 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam, pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt sebenarnya merasakan mereka berhak untuk mendapatkan mata.
Pendapat itu diluahkan selepas melihat semangat juang tinggi dan beberapa peluang terbaik dihasilkan di babak kedua.
“Di separuh masa kedua, kami mencipta banyak peluang tetapi gagal disudahkan dengan jaringan. Jadi saya fikir daripada aksi babak kedua, kami sebenarnya berhak untuk dapatkan mata,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.
Pada perlawanan semalam, jaringan tunggal Dominique Da Sylva pada minit ke-13 sudah cukup memastikan tiga mata milik Kuala Lumpur City FC.

Mengulas lanjut, Bernhardt berkata dia menjadikan kemenangan Penang FC ke atas Kuala Lumpur City FC sebagai rujukan untuk diterapkan dalam perlawanan semalam.
“Di separuh masa pertama, kami rancang untuk bermain lebih tinggi kerana selepas lihat kepada permainan Penang FC, mereka banyak melakukan dengan cara sedemikian.
“Namun ia tidak berhasil dan jarak jauh diantara pemain kami membolehkan pasukan lawan membuat hantaran sesama mereka,” katanya.
Add Comment