Badminton Terkini

ALL ENGLAND GAMIT MEMORI INDAH LO AH HENG


Ah Heng bersama keluarga.

 

KEJOHANAN All England edisi ke-113 bakal membuka tirainya di Birmingham minggu depan dan pertandingan badminton tertua dunia itu menyimpan kenangan istimewa untuk bekas pemain negara, Lo Ah Heng.

Memang Ah Heng, 47, tidak pernah muncul juara tetapi tempoh enam hari termasuk dua hari di pusingan kelayakan, beliau beraksi pada 1995 sudah cukup membolehkannya menikmati detik indah dikenali di dunia badminton.

Namanya memang kurang dikenali sebelum itu malah kehadirannya di All England 1995, dianggap langkah terdesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan pemain muda mereka.

Apa tidaknya, ketika itu BAM tidak lagi mempunyai pemain perseorangan berwibawa selepas Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Pang Chen dan Yong Hock Kin beralih arah menyertai kelab profesional Nusa Mahsuri.

Kelompongan tersebut memberi peluang kepada Ah Heng yang berusia 21 tahun ketika itu beraksi di kejohanan elit bersama dua lagi rakannya, Roslin Hashim dan P Kantharoopan.

Siapa sangka, peluang itu dapat digunakan Ah Heng untuk mengangkat namanya sebagai permata baru badminton negara.

CURI TUMPUAN LAWAN

Biarpun terpaksa mengharungi pusingan kelayakan sebelum mendapat tempat di undian utama kejohanan itu, Ah Heng kemudian mencipta kejutan demi kejutan.

Aksi bertenaganya bukan hanya membolehkan beliau keluar daripada bayangan Rashid, Pang Chen dan Hock Kin yang selama ini lebih mencuri tumpuan.

Malah Ah Heng mengejutkan Hock Kin di pusingan kedua dengan kemenangan 15-7, 15-7 diikuti kemenangan pertemuan suku akhir ke atas Andrey Antropov dari Rusia, yang menyingkirkan Rashid di pusingan pertama.

Namun, Ah Heng jelas bukan lawan bintang Indonesia yang juga juara bertahan, Hariyanto Arbi di separuh akhir.

Walaupun memberi tentangan sengit di set pertama sebelum tewas 15-17, beliau kehilangan tenaga di set kedua hingga menyerah 0-15.

Kini 26 tahun sudah berlalu sejak Ah Heng mencuri tumpuan dunia. Kegagalan memenuhi impian menjadi pemain handalan dunia menyaksikan namanya kian dilupakan.

Malah, Ah Heng mengakui dua anaknya sendiri tidak tahu beliau adalah bekas pemain negara kerana dunia badminton sudah lama ditinggalkannya sejak menggantung raket pada 1998 ketika berusia 24 tahun.

“Sudah berbelas tahun saya melupakan badminton. Walaupun di awal persaraan saya pernah membantu (Datuk Tey) Seu Bock menjadi jurulatih di kelab, ia tidak bertahan lama.

“Sebenarnya saya kurang minat menjadi jurulatih, ia bukan jiwa saya,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

CEBURI BIDANG PERNIAGAAN

Menurut anak jati Bukit Piatu, Melaka ini, beliau kemudian melibatkan diri dalam dunia perniagaan bermula dengan syarikat percetakan.

“Ia dapat bertahan selama tujuh tahun dan selepas itu ada beberapa perniagaan lain yang saya lakukan tetapi ia juga tidak lama,” kata bapa kepada anak perempuan berusia 10 tahun dan anak lelaki berumur lima tahun.

Ah Heng adalah antara mereka yang terkesan dengan penularan Covid 19 apabila kehilangan kerja selepas agensi tempat beliau bekerja yang terlibat membawa pelancong ke Genting Highlands akhirnya terpaksa gulung tikar.

Beliau berkata sejak tidak bekerja kira-kira setahun lalu, barulah dirinya kembali berjinak-jinak dengan badminton secara suka-suka.

Ah Heng kini menceburi bidang perniagaan.

 

Ah Heng mengakui tidak banyak kejayaan dikecapinya sepanjang karier bersama skuad negara yang bermula sejak dipanggil dalam pasukan remaja ketika berusia 16 tahun pada 1990.

Antara rakan seangkatannya ketika itu adalah Ewe Hock, Pang Chen, Hock Kin dan Pang Cheh Chang.

“Memang tidak banyak memori bagi saya sepanjang bergelar pemain kecuali kenangan indah di All England itu.

“Namun saya sedih, semua keratan akhbar yang dikumpulkan khususnya mengenai aksi saya di Birmingham telah dibuang oleh rakan serumah ketika tinggal di rumah bujang dulu.

“Memang kecewa apa lagi dia membuangnya ketika mengemas rumah tanpa memberitahu saya terlebih dahulu.

“Itulah benda paling berharga yang boleh dijadikan tatapan anak-anak saya, tapi malangnya semua itu sudah tiada lagi,” katanya sambil menambah akan membantu adiknya mengendalikan perniagaan perkhidmatan kurier di ibu negara selepas ini.

Ah Heng (kiri) bersama rakan-rakan seangkatan usianya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: