Badminton Semasa Terkini

June Wei kurangkan berat badan mahu tampil bersedia di Orleans



CHEAM June Wei berjaya mengurangkan berat badannya bagi memastikan dirinya tampil lebih bersedia apabila beraksi di kejohanan Orleans Masters, Perancis nanti.

Pemain perseorangan itu mengakui berat badannya naik beberapa kilo akibat tiada pertandingan kompetitif yang disertainya sejak lebih 13 bulan lalu.

”Memang berat badan saya naik sebelum ini tetapi sudah berjaya dikurangkan. Sekarang berat saya kembali normal sekitar 70kg,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Menurut June Wei, 24, dia mahu memastikan dirinya mampu mendapatkan semula rentak pertandingan apabila beraksi di kejohanan Jelajah Dunia Super 100 itu yang bermula dari 23 hingga 28 Mac ini.

June Wei, pemain ranking ke-78 dunia, sudah berada pada landasan terbaik apabila menyumbang mata tunggal negara di final Kejohanan Berpasukan Asia menentang Indonesia di Manila, Feb tahun lalu.

Di perlawanan itu yang juga aksi terakhirnya di pentas antarabangsa, pemain berasal dari Pulau Pinang ini mencipta kejutan dengan menundukkan juara Sukan Asia 2018, Jonatan Christie.

Namun pandemik Covid 19 menyaksikan peningkatannya tersekat apabila tiada lagi kejohanan dapat disertai selepas itu sesudah banyak pertandingan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dibatalkan.

”Secara peribadi saya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir di Orleans nanti.

”Namun apa yang penting adalah untuk saya mendapatkan semula sentuhan ketika beraksi di gelanggang,” katanya.

June Wei adalah satu-satunya pemain perseorangan lelaki yang dihantar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke kota Orleans.

Sementara itu, June Wei berkata kejayaan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menjuarai Terbuka Switzerland Ahad lalu, memberi motivasi tambahan kepadanya untuk memberi yang terbaik apabila beraksi nanti.

”Tahniah kepada mereka.Bagi saya, saya akan terus bekerja keras dan kekal fokus. Saya percaya keputusan yang diharapkan pasti akan muncul juga.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: