
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
TIGA lagi aksi Liga Super dijadualkan berlangsung malam ini dan akan terus menjanjikan saingan sengit membabitkan keenam-enam pasukan.
Dua daripada tiga perlawanan itu akan dilangsungkan di Lembah Klang dengan tumpuan dijangka akan menjurus kepada Kuala Lumpur City FC yang akan melayan kunjungan UiTM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Selepas rancak dalam mendapatkan pemain baru untuk cuba tampil selaku pesaing utama Liga Malaysia (Liga M), skuad Ibu Kota memulakan saingan dengan langkah kiri, tewas kepada Penang FC.
Daripada senarai pemain, ramai yang menjangkakan Kuala Lumpur City FC mampu bersaing dan malam ini dijangka akan jadi detik permulaan baru buat skuad kendalian Bojan Hodak untuk menempatkan diri di landasan betul.
Namun ia bukan tugas senang memandangkan lawan mereka dijangka akan hadir dengan semangat luar biasa untuk memburu tiga mata selepas turut tewas pada aksi pertama.
Begitu juga dengan Sri Pahang FC, peluang beraksi di Stadium Darul Makmur wajar dimanfaatkan ketika mereka bakal melayan kunjungan Perak FC.
Walaupun dianggotai ramai muka baru, adalah silap jika Perak FC memandang rendah keupayaan tuan rumah dan boleh dikatakan kedua-duanya memiliki peluang seimbang.
Sementara itu, PJ City FC dan Melaka United FC akan turun ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan misi sama, memburu mata maksimum buat pertama kali selepas kedua-duanya hanya meraih keputusan seri pada perlawanan pertama.
Bagaimanapun, menjadi sesuatu yang menarik untuk menyaksikan sejauh mana P Maniam mengemudi PJ City FC ketika hanya mempertaruhkan khidmat pemain tempatan.
Add Comment