Bola Sepak Terkini

TFCI raih mata penuh dilaman sendiri


Mintah (kiri) bersaing merebut bola diudara dengan ketua pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin.

Oleh : Subkhi Sudarji / Izari Rosli (Foto)

TERENGGANU FC (TFCI) meraih tiga mata penuh dilaman sendiri apabila menewaskan Selangor FC, 3-1 pada aksi Liga Super 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Gol tuan rumah dijaringkan penyerang import, Jordan Mintah pada minit ke 34 dan pemain gantian Mohammad Rahmat Makasuf (m-61) serta Mohamad Hakimi Abdullah dipenghujung lewat permainan.

Gol tunggal pelawat pula terhasil melalui jaringan sendiri pertahanan tuan rumah Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni pada minit ke 71 sudah cukup memastikan Selangor FC pulang ke Shah Alam tanpa sebarang mata.

Pada aksi yang berlangsung tadi, sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan dengan TFCI melakukan sepak mula, mereka seharusnya dihadapan namun Faiz Nasir gagal  menyempurnakan hantaran lintang dari Faisal Abdul Halim.

Gerakan tersebut nyata menyemarakan semangat anak didik Nafuzi Zain yang terus melancarkan serangan memburu gol awal namun dinafikan kekentalan benteng pelawat diterajui ketua pasukan Safuwan Baharudin dan Tim Heubach.

Selangor FC juga berpeluang berada dihadapan pada minit ke 11 melalui tandukan penyerangnya, Shahrel Fikri namun ketangkasan penjaga gawang tuan rumah, Muhammad Rahadiazli Rahalim menyelamatkan gawang.

Selang tiga minit kemudian, Shahrel Fikri sekali lagi hampir menjaringkan gol namun rembatannya dari luar kotak penalti terkena palang ketika Radiazli sudah pun tertewas.

Gol pembukaan yang dicari akhirnya milik tuan rumah melalui penyudahan sempurna melalui tandukan Jordan Mintah pada minit ke 34 untuk menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid yang bertindak cemerlang sebelum ini.

Memasuki babak kedua, corak permainan sama dipamerkan kedua pasukan dengan tuan rumah lebih banyak menekan pertahanan bagi memburu gol kedua.

Kemasukan Mohammad Rahmat Makasuf yang menggantikan Faisal pada minit ke 60 nyata terus merubah keputusan apabila pemain berkenaan menjaringkan gol kedua selang seminit kemudian melalui rembatan menewaskan Khairulazan.

Usaha berterusan Selangor FC memburu gol bagi merapatkan jurang akhirnya muncul dengan “bantuan” pemain pertahanan tuan rumah, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke 73.

Berbaki 17 minit terakhir walaupun pelawat cuba memburu gol penyamaan namun dinafikan pertahanan tuan rumah dan serangan balas dipenghujung perlawanan memastikan tuan rumah memperolehi gol ketiga hasil jaringan Hakimi untuk kemenangan 3-1 ke atas Selangor FC.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: