
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
KREDIBILITI Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terus diiktiraf apabila dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) Sukan SEA di Vietnam, hujung tahun ini.
Kemampuan Hamidin dalam mentadbir FAM menjadi antara sebab pemilihan itu yang diputuskan secara sebulat suara.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria berkata CDM perlu memiliki kemampuan untuk mengetuai kontinjen negara yang besar.
“Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail telah mencadangkan nama Hamidin.
“Cadangan itu dipersetujui memandangkan kita rasa bahawa seseorang pemimpin satu-satu organisasi besar seperti FAM pasti tahu segala proses secara menyeluruh, daripada segi pentadbiran, pemilihan atlet dan berpengalaman luas.
“Walaupun Sukan SEA adalah sukan persahabatan tetapi selalunya kita hantar kontinjen yang besar dan dengan ini, seseorang pemimpin perlu mempunyai kepimpinan yang tinggi untuk menjaga kontinjen negara.
“Bagi kali ini, kita mengalami banyak ketidaktentuan daripada segi pandemik dan juga prosedur operasi standard (SOP), jadi kita beranggapan untuk menyenangkan proses ini.
“Kita buat keputusan secepat mungkin dan CDM pun boleh jalankan kerja secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Hamidin sah akan akan kekal sebagai Presiden FAM pada Kongres FAM ke-57.
Hamidin yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM mula dilantik sebagai presiden badan induk itu pada 2018 dan sejak dibawah pentadbirannya pelbagai sudah dilaksanakan.
Antara usaha yang sudah dilancarkan Hamidin yang juga presiden FAM ketujuh adalah memperkenalkan Peta Hala Tuju FAM (F:30).
Add Comment