Bola Sepak Semasa Terkini

AFL terima 14 permohonan sertai Liga M3 2021


Datuk Yusoff Mahadi

Oleh : Subkhi Sudarji

PENGERUSI Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan 14 pasukan telah menyerahkan permohonan untuk memeriahkan saingan Liga M3 yang dijadualkan berlangsung Jun nanti.

Jelasnya, penelitian terhadap pasukan dari segi pengurusan dan kewangan kini sedang dibuat dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Tahun lepas 20 pasukan menyertai saingan Liga M3 tetapi setakat hari ini 14 telah mengemukakan permohonan. Kalau boleh kita mahu mencapai sasaran 19 pasukan namun semuanya bergantung terhadap kemampuan pasukan dari segi kewangan dan pengurusan.

“Kebanyakkan dokumen yang dihantar pasukan tidak lengkap dan kita mahu mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan, Insyallah paling lewat hujung Mac kita akan umumkan senarai pasukan yang bertanding,” jelasnya ketika dihubungi CAKAPSUKAN.

Mengulas penyertaan beberapa bekas pemain kebangsaan dan Liga Malaysia dalam kancah Liga M3, Yusoff menyifatkan ia perkembangan positif dan membuktikan liga berkenaan tetap menjadi perhatian peminat bola sepak.

“Semua ini ada tarikan dan pada masa sama kita mahu menjadikan Liga M3 ini ke arah lebih semi profesional pada masa akan datang.

“Pasukan perlu meningkatkan pengurusan kewangan dan pentadbiran organisasi masing-masing untuk menuju ke semi profesional yang dijangka pada tahun depan,” tegasnya.

Pasukan yang telah memaklumkan penyertaan dalam Liga M3 ialah  Kuala Kangsar FC (KK FC) pada sidang memperkenalkan barisan pemain pasukan yang disertai Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: