Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Sembilan pemain remaja ‘naik pangkat’


Jacky Kok Jing Hong

 

BEKAS pemain perseorangan lelaki nombor tiga remaja dunia, Jacky Kok Jing Hong adalah antara sembilan pemain badminton remaja yang dinaikkan ke skuad senior negara sejak Isnin lepas.

Jacky yang menjuarai Kejohanan Remaja Terbuka Jerman dan layak ke separuh akhir Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, Feb tahun lalu,  dianggap antara aset yang mampu digilap menjadi pemain yang disegani.

Penyerapan mereka ke skuad senior itu adalah berikutan masing-masing sudah berusia 19 tahun dan tidak lagi layak beraksi dalam kategori remaja.

“Penyerapan mereka ke skuad senior adalah hasil perbincangan bersama dengan Datuk Misbun (Sidek- Pengarah Pembangunan Remaja).

“Kita harapkan semua sembilan pemain yang diserapkan ke skuad senior ini, mengambil peluang untuk membuktikan kemampuan diri.

“Mereka antara yang terbaik dalam skuad pelapis tetapi bila dalam skuad senior mereka tentulah perlu bermula dari bawah.

“Apa yang penting adalah mereka perlu bersaing lebih hebat dengan pemain senior lain supaya tidak tenggelam,” kata Setiausaha  Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh kepada CAKAPSUKAN.

Wan Arif Wan Junaidi-Haikal Nazri.  

Selain Jacky, turut ‘dinaikkan pangkat’ adalah juara perseorangan lelaki bawah 18 tahun kebangsaan, Ong Ken Yong serta beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Haikal Nazri.

Peluang berlatih dan bermain bersama pemain senior lain pastinya peluang terbaik untuk mereka memantapkan permainan terutama gandingan Wan Arif-Haikal yang mara ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Rusia pada 2019.

Berikutan BAM hanya mempunyai satu beregu lelaki yang dianggap mantap iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika yang lain masih tercari-cari rentak, ini peluang terbaik Wan Arif-Haikal untuk mencuri kesempatan menonjolkan kemampuan.

 
Senarai pemain

Perseorangan lelaki : Jacky Kok Jing Hong, Ong Ken Yong

Perseorangan wanita: Myisha Mohd Khairul

Beregu lelaki: Wan Arif Wan Junaidi, Haikal Nazri, Jimmy Wong

Beregu wanita: Low Yeen Yuan, Valeree Siow, Go Pei Kee


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: