
PEMAIN import Terengganu FC (TFC) , Petrus Shitembi bakal terlepas beberapa aksi awal saingan Liga Super musim ini susulan kecederaan dialaminya pada aksi pra musim.
Shitembi akan menjalani pemeriksaan seterusnya di Kuala Lumpur untuk mengesahkan kecederaan dan semestinya ketiadaan Shitembi di bahagian tengah pasukan TFC bakal memberikan kesan sedikit sebanyak kepada taktikal dan pengaturan permainan kerana pemain ini telah menjadi penggerak utama sejak awal aksi persediaan pra-musim TFC musim ini.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain nyata memandang perkara ini dan sememangnya bakal memberi kesan buat pasukan.
“Saya tetap percaya dengan barisan pemain-pemain yang ada dan barisan kejurulatihan sudahpun merangka barisan pemain utama menjelang perlawanan menentang UITM FC, Sabtu ini,” ujarnya dipetik melalui laman web pasukan Terengganufc.com
Seandainya Shitembi terpaksa berehat lama, TFC mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat pemain import tengah pasukan Terengganu FC II, Dechi Marcel N’Guessan yang baru ditandatangani semalam bagi menggantikan tempat yang ditinggalkannya itu buat sementara waktu.
Namun perkara itu belum diputuskan bagi aksi awal musim ini kerana Dechi Marcel baru sahaja memulakan latihan bersama TFC .
Selepas menentang Uitm FC malam esok, TFC akan menanti kunjungan Selangor FC di Kuala Terengganu pada 9 Mac sebelum bertolak ke Ipoh selang lima hari kemudian bertemu Perak FC ditempat lawan.








Add Comment