Antarabangsa Bola Sepak Terkini

VALENCIA PERLUKAN TMJ – VINCENT TAN


EKSKLUSIF oleh MOHD FARIQ

PEMILIK kelab Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan menganggap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah tokoh yang tepat untuk mengembalikan maruah Valencia.

Jelas Vincent Tan yang merupakan pengasas Kumpulan Berjaya, beliau berpendapat Tunku Ismail membuat keputusan yang tepat jika memiliki perancangan untuk membeli kelab La Liga itu.

Kata lagi usahawan kelahiran Johor yang juga merupakan pemilik KV Kortrijk itu, Tunku Ismail telah membuktikan kemampuannya sebagai salah satu tokoh sebagai pemilik kelab bola sepak berwibawa di dunia.

Justeru, Vincent Tan optimis bahawa Tunku Ismail tidak berdepan masalah untuk menjulang kegemilangan Valencie sebagaimana baginda lakukan bersama JDT sejak 2013.

“TMJ adalah salah satu pemilik kelab bola sepak yang paling berjaya di Asia. Apa yang dia capai untuk JDT sangat luar biasa, memenangi begitu banyak trofi dan juara dalam banyak musim adalah sangat mengagumkan.

“TMJ pasti akan menjadi aset yang hebat bagi Valencia dan akan membawa Valencia ke tahap kejayaan yang sangat tinggi.

“Saya percaya peminat Valencia akan sangat berbangga dengan Kelab mereka sekiranya TMJ menjadi pemilik baharu. Saya doakan kejayaan TMJ dengan Valencia,” katanya esklusif.

Telah di laporkan sebelum ini melaporkan spekulasi berlaku dalam kalangan penyokong-penyokong bola sepak tempatan selepas Tunku Ismail sedang berkira-kira untuk membeli Valencia selepas berkongsi data ataupun pencapaian kelab Sepanyol itu di laman sosial Instagram.

Berdasarkan harga semasa pasaran, nilai Valencia dianggarkan sekitar 408 juta euro (RM1.9 bilion).

Tunku Ismail mengambil alih pucuk kepimpinan JDT pada 2012 dan berjaya melakarkan pelbagai sejarah dalam industri bola sepak Malaysia termasuk menjadi pasukan pertama menjuarai Liga Super tujuh kali berturut-turut dan memenangi Piala AFC pada 2015.

Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Putri antara visi baginda di mana venue itu menjadi mercu kebanggaan negara selepas diangkat antara salah satu stadium terbaik di Asia.

Sebagai rekod, Tunku Ismail bakal menjadi individu ketiga yang bergelar pemilik kelab luar negara jika membeli Valencia selepas Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes yang sebelum ini pernah menjadi pemilik kelab Queens Park Rangers.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d